Leform raih kontrak bernilai RM6.2 juta untuk pemasangan pagar di Lebuhraya WCE | DagangNews Skip to main content

Leform raih kontrak bernilai RM6.2 juta untuk pemasangan pagar di Lebuhraya WCE

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Leform Bhd menerusi anak syarikatnya, LF Engineering Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) dan melaksanakan perjanjian subkontrak untuk kontrak bernilai RM6.2 juta daripada usaha sama IJMC-KEB.

 

IJMS-KEB merupakan kontraktor utama untuk membekal dan dan memasang pagar di Seksyen 7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Taiping-Banting menghubungkan persimpangan Assam Jawa ke persimpangan Tanjung Karang, yang dijangka siap pada 30 Jun 2024.

 

Lebuh raya sepanjang 233 kilometer itu akan menjadi lebuh raya ketiga terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.

 

Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus menyokong pembinaan Lebuhraya WCE. 

 

"Kami juga berbesar hati untuk dianugerahkan kontrak ini dan percaya ia menandakan keyakinan dan kepercayaan rakan kongsi perniagaan kami, sekali gus memberikan galakan besar untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Law, pihaknya sedang melaksanakan pelan pengembangan untuk pembinaan kemudahan penyimpanan gudang baharu untuk meningkatkan kawasan penyimpanan dan kecekapan operasi.

 

"Matlamat kami untuk memenuhi jumlah pengeluaran lebih tinggi, memberi petanda baik dengan latar belakang optimistik jangkaan penggunaan keluli yang meningkat didorong pemulihan dalam industri pembuatan dan pembinaan. 

 

"Tambahan pula, dengan kepakaran teknikal dan rekod prestasi yang panjang dalam industri keluli, kami yakin berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan kami," katanya.

 

Subkontrak itu yang keempat bagi kumpulan untuk Lebuhraya WCE, dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih Leform bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 31 Disember 2024. - DagangNews.com