Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov - Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) hari ini melancarkan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan (Taksonomi ASEAN) – Versi 1 yang menyediakan rangka perbincangan bersama pihak berkepentingan sektor rasmi dan swasta bekerjasama dalam pembangunan Taksonomi ASEAN.
Menurut Lembaga Taksonomi ASEAN, Taksonomi ASEAN berfungsi sebagai rujukan untuk mengarahkan modal dan pembiayaan kepada aktiviti yang boleh membantu menggalakkan transformasi sistemik yang diperlukan oleh rantau ini.
Katanya, ia merupakan inisiatif kerjasama empat badan sektor ASEAN yang membentuk ATB, iaitu Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), Mesyuarat Pengawal Selia Insurans ASEAN (AIRM), Jawatankuasa Peringkat Kanan Integrasi Kewangan (SLC) ASEAN, dan Jawatankuasa Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Pasaran Modal (WC-CMD).
"Ini adalah susulan kepada inisiatif kewangan mampan sebelum ini oleh badan sektor ASEAN, seperti Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN, dan Prinsip Perbankan Mampan ASEAN.
"Taksonomi ASEAN merupakan komitmen kolektif Negara Anggota ASEAN (AMS) dalam peralihan ke arah rantau yang mampan. Ia dirangka sebagai satu sistem klasifikasi yang inklusif dan boleh dipercayai bagi aktiviti-aktiviti mampan dan akan menjadi salah satu asas utama untuk menarik aliran pelaburan dan kewangan ke dalam projek mampan di rantau ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Taksonomi ASEAN mengiktiraf aspirasi dan matlamat antarabangsa, dan mengambil kira keperluan unik rantau ini dan oleh itu, ia bermatlamat untuk menjadi inklusif dan bermanfaat kepada semua AMS.
Ujarnya, bagi memenuhi kepelbagaian dalam AMS, ATB telah memutuskan pendekatan berbilang peringkat dengan dua elemen utama, Rangka Kerja Asas berdasarkan prinsip yang menyediakan penilaian kualitatif terhadap aktiviti, dan Piawaian Tambahan (Standard Plus) dengan metrik dan had-had untuk meningkatkan kelayakan dan tanda aras aktiviti-aktiviti dan pelaburan hijau.
"Versi 1 yang diumumkan hari ini memperjelaskan komponen-komponen utama Taksonomi ASEAN antaranya adalah empat objektif alam sekitar dan dua kriteria penting bagi penilaian terhadap aktiviti ekonomi yang bertindak sebagai asas untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan peralihan kepada amalan rendah karbon dan alam sekitar lestari.
"Selain itu senarai sektor tumpuan yang akan dirangkumi oleh Plus Standard sebagai langkah pertama turut tersedia dalam Taksonomi ASEAN ini," katanya.
Taksonomi ASEAN– Versi 1 boleh didapati melalui laman-laman web berikut Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara;Portal Web ASEAN Finance Cooperation; Forum Pasaran Modal ASEAN dan Sustainable Finance Institute Asia. -DagangNews.Com