Lesen bank digital dijangka tidak menyumbang kepada pendapatan YTL Power International pada tahun-tahun awal | DagangNews Skip to main content

Lesen bank digital dijangka tidak menyumbang kepada pendapatan YTL Power International pada tahun-tahun awal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research menjangkakan lesen bank digital tidak akan memberi sumbangan pendapatan kepada YTL Power International Berhad (YTLP) pada tahun-tahun awalnya.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan mereka dan sasaran harga RM0.90 untuk kumpulan itu berdasarkan jumlah bahagian, dengan entiti operasi masing-masing dinilai mengikut aliran tunai mereka.

 

"Lesen bank digital itu akan mengukuhkan lagi hubungan SEA Ltd dengan YTL Group (YTL Communication sudah menjalankan program ganjaran bersama Shopee).

 

"Kami tidak menolak kemungkinan berlaku lebih banyak kerjasama pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Konsortium antara YTL Digital-SEA Ltd (YTL SEA) dan YTL Digital Capital (anak syarikat YTLP) dianugerahkan lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia.

 

Selepas mengambil kira ketidaktentuan sebelum ini, firma itu berkata, pengumuman itu mengesahkan bahawa pendedahan kumpulan YTL kepada bank digital adalah melalui YTLP.

 

"Kadar pegangan antara konsortium itu masih tidak diketahui tetapi dipercayai YTLP memiliki pegangan majoriti.

 

"YTL SEA memiliki kepakaran digital (termasuk perbankan digital di Singapura), kami menjangkakan YTLP akan memainkan peranan sokongan dalam operasi bank digital," katanya.

 

Firma itu berkata, konsortium YTL SEA dijangka menerima lesen bank digital, setelah menjadi antara pendahulu semasa proses bidaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM0.90. 

 

"Kami percaya, YTLP akan mengekalkan pemberian dividen tahunan sebanyak lima sen setahun sesaham untuk tahun-tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com