LFE Corporation, Aziho Trading bekerjasama laksana projek Taman Residensi Mesra Fasa 3 | DagangNews Skip to main content

LFE Corporation, Aziho Trading bekerjasama laksana projek Taman Residensi Mesra Fasa 3

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - LFE Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, LFE Development Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kerjasama dengan Aziho Trading Sdn. Bhd. pada 16 Ogos 2022 untuk pembangunan, pembinaan dan penjualan projek perumahan Taman Residensi Mesra, Fasa 3 di Kuala Muda, Kedah.

 

Projek di atas tanah pegangan bebas itu melibatkan kawasan seluas 105.7389 hektar di Lot 21, daerah Kuala Muda, Kedah.

 

Menerusi perjanjian itu, pemaju yang merupakan anak syarikat LFE perlu memohon dan mendapatkan kelulusan untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam perniagaan pembangunan dalam tempoh tiga bulan.

 

"Pemaju hartanah itu perlu membayar deposit (RM800,000), bayaran pertama (RM1.2 juta), bayaran kedua (RM1 juta) dan bayaran ketiga (RM3.5juta) kepada pemegang gadaian tanah sedia ada menurut undang-undang sedia ada. 

 

"Berdasarkan kepada klausa 2.2 perjanjian berkenaan, pemilik tanah layak untuk mendapat 20% daripada GDV RM129 juta atau 20% daripada plot bangunan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Menerusi perjanjian itu, pemaju perlu menyiapkan rumah mengikut pelan yang diluluskan dan mendapatkan CFO atau CCC yang diperlukan bagi setiap rumah dalam tempoh dua tahun dari tarikh permulaan pembinaan.

 

Sekiranya gagal, pemilik tanah akan melanjutkan tempoh enam bulan lagi untuk membolehkan pemaju menyiapkan pembinaan rumah dan mendapatkan CFO atau CCC yang diperlukan.

 

"Perjanjian itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aste bersih sesaham LFE Group untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan sehingga porjek itu siap sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com