Lim Tayar ‘lebarkan sayap’ ke seluruh Malaysia | DagangNews Skip to main content

Lim Tayar ‘lebarkan sayap’ ke seluruh Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kumpulan perkhidmatan automotif, CKL Group kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya di seluruh negara melalui inisiatif Lim Tayar Family (LTF) yang baru dilancarkan.

 

Melalui inisiatif berkenaan, kumpulan itu berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama strategik dan menawarkan perkhidmatan baharu seperti program pelesenan, pemeriksaan kenderaan percuma dan pensijilan untuk pasaran kenderan terpakai.

 

Menurut Pengarah Urusan Bersama CKL Group, Clement Lim, kerjasama dengan penggerak industri merupakan sebahagian daripada norma baharu dalam mengetengahkan kekuatan rakan niaga terbabit dan membina ekosistem yang lebih rancak dan konsisten secara lebih menyeluruh.

 

“Kami mencari cara untuk mengembangkan rangkaian perkhidmatan bagi memberi lebih nilai kepada pelanggan kami. Dengan adanya program LTF dan pemeriksaan kenderaan secara percuma, lebih ramai pelanggan dapat menggunakan produk dan perkhidmatan kami.

 

Lim tayar
DI bawah program LTF, penjual tayar dan pemilik bengkel dapat memanfaatkan kekuatan dan sokongan jenama Lim Tayar.

 

“Selama beberapa tahun kami mengukuhkan kedudukan Lim Tayar sebagai jenama yang dipercayai. Oleh itu kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan niaga kami bagi menggerakkan perkhidmatan baharu dan meningkatkan kepakaran dan keupayaan agar pelanggan lebih yakin terhadap kami,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di bawah program LTF, penjual tayar dan pemilik bengkel dapat memanfaatkan kekuatan dan sokongan jenama Lim Tayar untuk meningkatkan perkhidmatan dan daya saing mereka.

 

Jelas kumpulan itu, selain daripada membantu rakan niaga yang baharu dari segi latihan, tenaga kerja dan pemasaran, program berkenaan juga menandakan Lim Tayar akan meluaskan perkhidmatannya ke tempat-tempat lain di dalam negara.

 

Ketika ini Lim Tayar memiliki 19 pusat servis di sekitar Lembah Klang dan Seremban.

 

Bagi pemeriksaan kenderaan percuma dan perkhidmatan pensijilan untuk kenderaan terpakai, Lim memberitahu bahawa perkhidmatan berkenaan ditawarkan di lapan pusat servis Lim Tayar di sekitar Lembah Klang.

 

Pemeriksaan akan dilakukan di pusat terpilih ini oleh juruteknik Lim Tayar yang terlatih, katanya.

 

“Kami akan menambah lebih banyak pusat servis secara berperingkat untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan.  Kami menawarkan perkhidmatan ini sebagai projek perintis bagi memastikan kualiti dan operasi perkhidmatan yang terbaik dan lancar dapat diberikan sebelum ia dapat diteruskan di pusat servis yang lain,” kata Lim.

 

Lapan pusat servis yang menawarkan khidmat pemeriksaan kenderaan terletak di Gombak, Seksyen 13 Shah Alam, Sentul, Jalan Klang Lama, Hulu Kelang, Subang Jaya, Taman Tun Dr Ismail dan Seksyen 26 Shah Alam. - DagangNews.com