Petronas kembali melancarkan tender prakelayakan bagi kontrak FSPO Limbayong, hanya 2 minggu selepas syarikat O&G negara ini membatalkan tender berkenaan.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Okt. - AmInvestment Bank Research mendapati belum ada firma asing setakat ini yang menyertai tender prakelayakan yang dibuka semula oleh Petronas, 13 Oktober lalu bagi kontrak kemudahan penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) di Limbayong, luar pesisir Sabah.
"Walaupun tender FPSO sebelum ini hanya dikeluarkan untuk kontraktor Malaysia dan kontraktor utama, tetapi bagi pelaksanaan prakelayakan ini mungkin terdapat usaha untuk memasukkan syarikat gergasi terapung antarabangsa seperti Modec dan SBM Offshore, meskipun kontraktor asing setakat ini tidak menunjukkan minat," jelas penganalisisnya, Alex Goh.
Dalam nota kajian, beliau percaya penyewaan FSPO akan berjalan seperti dirancang setelah mengambil kira kontrak pemasangan sistem pengeluaran bawah laut, umbilikal, penaik dan garis alir bagi bagi Projek Pembangunan Limbayong Deepwater yang diperoleh TechnipFMC Plc.
Katanya, pesaing untuk membekalkan menara luaran untuk FPSO termasuklah Bluewater, SOFEC, National Oilwell Varco dan London Marine Consultants.
"Namun, secara keseluruhan kami melihat momentum bagi sektor minyak dan gas (O&G) kekal kukuh.
"Pada pandangan kami, pembidaan semula Limbayong tidak bermakna pelancaran kontrak dalam sektor ini hilang momentum.
"Ini kerana masih terdapat beberapa penyewaan FSPO di peringkat global, meskipun operator yang memiliki kewangan stabil mempunyai pilihan terhad selepas berdepan penurunan harga minyak pada 2015 hingga 2017," katanya.
Baca : Petronas mungkin tangguh bidaan kontrak FSPO Limbayong, tidak jejaskan momentum sektor O&G - AmInvest
Semalam, Upstream Online melaporkan Petronas kembali melancarkan tender prakelayakan ini, hanya 2 minggu selepas syarikat O&G negara ini membatalkan tender berkenaan yang menarik minyak 4 kontraktor Malaysia iaitu Sabah International Petroleum (SIP), Yinson Holdings, MISC dan konsortium antara Bumi Armada dan MTC serta Shapoorji Pallonji yang berpangkalan di India.
Upstream mendapati SIP, yang tidak memiliki operasi FSPO buat masa ini, berada dalam kedudukan terbaik untuk mendapatkan kontrak tersebut, yang mungkin mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sabah untuk memperhebatkan penglibatannya dalam projek O&G.
Secara keseluruhan, AmInvestment bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor O&G dengan menjangkakan aliran kontrak baharu akan kembali pulih pada suku ketiga.
Dalam pada itu, firma itu turut menaikkan unjuran harga minyak mentah global bagi 2021-2022 sebanyak AS$5 setong kepada AS$70 hingg AS$75 setong.
Ini berdasarkan kepada harga minyak mentah Brent yang kembali pulih melepasi paras AS$80 setong selepas susut sehingga AS$65 setong pada 20 Ogos lalu disebabkan kebimbangan varian Delta akan menjejaskan permintaan global. - DagangNews.com