KUALA LUMPUR 26 Jan - Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank-Bank Malaysia (NUBE) mendesak bank-bank menunaikan seruan kerajaan yang mahukan kebajikan pekerja dilindungi seiring keuntungan dinikmati.
Mengalu-alukan aspirasi kerajaan itu, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, bagaimanapun adalah sesuatu yang mengecewakan apabila melihat bank syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sendiri tidak seiring objektif pemimpin utama kerajaan.
Katanya, GLC yang beroperasi bertentangan dengan arahan kerajaan tidak ubah seperti 'peribahasa bunga kembang berbalik kuncup' - merujuk perbuatan ingkar walaupun mulanya seakan menuruti.
Sehubungan itu, Solomon menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, supaya menangani amalan eksploitasi ini dengan membubarkan apa yang didakwanya - 'kartel bank korup'.
Ini susulan bank-bank telah membuat keputusan tanpa berbincang dengan kesatuan berhubung had kadar Bayaran Perayaan 2024, dakwa Solomon.
"Tindakan ini (campur tangan Perdana Menteri) penting bagi menjajarkan amalan sektor perbankan dengan objektif kebajikan pekerja oleh kerajaan, seterusnya memastikan perkongsian keuntungan secara berekuiti," katanya hari ini.
Dalam satu majlis 11 Januari lalu, Anwar menyeru para majikan termasuk GLC dan swasta supaya meningkatkan usaha menjaga kebajikan pekerja selari dengan keuntungan yang diperoleh.
Sementara itu, Solomon dalam kenyataan media itu membangkitkan keengganan bank-bank baru-baru ini untuk memberikan gaji pokok sebulan sebagai Bantuan Perayaan kepada kumpulan B40 dan M40 yang jelas menggambarkan kedegilan ini.
Dakwanya, keputusan sesuka hati bank-bank ini melanggar perjanjian dengan NUBE yang dimaktubkan tahun lalu bertujuan untuk memberi sokongan kepada pekerja ketika sambutan perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas.
Perjanjian itu menurut Solomon, menyatakan minimum gaji sebulan sebagai Bantuan Perayaan, dengan pihak bank diberi pilihan untuk menawarkan jumlah lebih tinggi jika mereka mahu.
"Walaupun ada perjanjian untuk menyemak semula bayaran itu pada 2024, MCBA (Persatuan Bank-Bank Komersial) secara unilateral meletakkan had sebanyak RM500, tanpa mengendahkan terma yang telah dipersetujui.
"Keputusan ini tidak berasas, khususnya melihat kepada peningkatan 15% dalam produktiviti pekerja sektor kewangan dari 2021 hingga 2023, berbanding tempoh 2018-2020, yang membawa kepada hasil lebih tinggi oleh setiap pekerja," tegasnya.
Kata Solomon, memandangkan margin untung ini, bank-bank berkenaan amat mampu memberikan jumlah melebihi gaji sebulan untuk Bantuan Perayaan.
Ujarnya, pengurangan jumlah Bantuan Perayaan, khususnya dengan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi telah meletakkan tekanan kewangan yang tidak wajar terhadap pekerja yang telah menjangkakan menerima sokongan seperti dijanjikan.
"Keputusan yang dibuat oleh wakil GLC terlibat, menggambarkan ketakadilan teruk kepada semua pekerja bank kumpulan B40 dan M40 dan membayangkan amalan korup yang membelenggu kumpulan berpendapatan rendah serta pertengahan dalam kemelut kewangan," dakwanya. - DagangNews.com