Lion Industries batal rancangan ambil alih tanah pertanian seluas 32.4 hektar pada harga RM23 juta di Sepang | DagangNews Skip to main content

Lion Industries batal rancangan ambil alih tanah pertanian seluas 32.4 hektar pada harga RM23 juta di Sepang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Lion Industries Corporation Berhad membatalkan rancangannya untuk mengambil alih tanah pertanian seluas 32.4 hektar di Sepang pada harga RM23 juta.

 

Kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, LLB Bina Sdn. Bhd. telah menandatangani surat pembatalan dengan pemilik tanah, Premier Land Resources Sdn. Bhd. bagi menamatkan perjanjian berhubung pengambilalihan yang dimeterai pada Januari tahun lepas.

 

Premier Land akan membayar balik balasan pembelian kepada LLB Bina.

 

"Setelah mempertimbangkan semua aspek, lembaga pengarah berpendapat bahawa penamatan itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat," kata kumpulan itu tanpa memberi sebarang maklumat lanjut dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata penamatan itu dijangka tidak memberi kesan ke atas pendapatannya bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 dan penyata disatukan terauditnya pada 31 Disember 2022.

 

Semasa pengumuman perjanjian itu, Lion Industries berkata, tanah itu diperoleh sebagai peluang pelaburan strategik dan bagi mengembangkan bank tanah kumpulan untuk bahagian hartanahnya. - DagangNews.com