Litrak dinyahsenarai daripada Pasaran Utama pada 12 September 2023 | DagangNews Skip to main content

Litrak dinyahsenarai daripada Pasaran Utama pada 12 September 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Litrak Trans Kota Holdings Berhad dijangka dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 12 September ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Litrak berkata, keseluruhan modal saham terbitannya akan dikeluarkan daripada senarai rasmi, mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

Kumpulan itu telah diklasifikasikan sebagai syarikat tunai selepas mereka melupuskan 100% pegangannya dalam Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd untuk tunai RM2.326 bilion, dan kepentingan 50% dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd.

 

Saham Litrak digantung pada 9 Ogos lalu bagi memudahkan pembayaran balik modal membabitkan pengagihan tunai sebanyak 50.63 sen bagi setiap saham yang dipegang atau berjumlah RM275.78 juta.

 

Terdahulu, pada 6 April 2023, Litrak mengumumkan pembayaran balik modal selepas syarikat itu diklasifikasikan sebagai syarikat tunai berikutan pelupusan 100% pegangannya dalam Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. sebanyak RM2.33 bilion dan 50% kepentingannya dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) untuk RM904 juta, kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad.

 

Syarikat itu juga mengumumkan bahawa dagangan saham Litrak di Pasaran Utama akan terus digantung sehingga selesai pembayaran balik modal diikuti dengan penyahsenaraian sahamnya, selepas itu mereka berhasrat untuk menutup syarikat itu secara sukarela. - DagangNews.com