Loji gas Perdiz, Papan bakal lonjak prestasi Coastal Contracts, kata Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Loji gas Perdiz, Papan bakal lonjak prestasi Coastal Contracts, kata Affin Hwang

Unit perkhidmatan pemampatan gas jack-up syarikat kini merupakan penyumbang hasil utama Coastal Contracts Berhad
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Jun - Pengurusan Coastal Contracts Bhd melihat trajektori pertumbuhan pendapatan melantun semula dengan bermulanya operasi loji gas Perdiz dan Papan di Mexico, kata Affin Hwang Capital.

 

Firma itu berkata perniagaan pemprosesan gas kini merangkumi semua keuntungan Coastal Contracts.

 

"Semua projek gasnya mempunyai pelanggan yang bereputasi baik iaitu Pemex yang merupakan syarikat minyak negara Mexico. Ini melalui kerjasama dengan Nuvoil, sebuah syarikat penerokaan dan pengeluaran Mexico, yang mana Coastal mempunyai hubungan kerja yang lama," kata Affin Hwang dalam nota kajiannya hari ini.

 

Menurutnya, perbelanjaan modal pelanggan yang rendah secara berpanjangan sejak kitaran penurunan harga minyak 2014 telah menghancurkan permintaan untuk pembinaan baharu kapal sokongan luar pesisir global, menjejaskan pendapatan Coastal Contracts sejak beberapa tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, pihak pengurusan melihat trajektori pertumbuhan pendapatan kembali pada kedudukan yang kukuh dengan bermulanya operasi kilang gas Perdiz dan Papan tidak lama lagi."

 

Affin Hwang berkata keputusan tahun kewangan Coastal Contracts suku ketiga (Q3) 2022 (FY22) baru-baru ini adalah kukuh, dengan keuntungan bersih RM38 juta hampir menyamai keuntungan tahun penuh FY21 sebanyak RM40 juta.

 

Unit perkhidmatan pemampatan gas jack-up syarikat kini merupakan penyumbang hasil utama, menjana pendapatan tahunan RM130 juta dan aliran tunai percuma RM90 juta.

 

Coastal Contracts juga telah dianugerahkan dua lagi loji pemprosesan gas darat untuk medan gas Ixachi Pemex di Mexico.

 

Loji pemanis gas Perdiz yang dimiliki 50% telah mula menyumbang sejak Q1 FY22 untuk tempoh konsesi selama 32 bulan.


 

Unit perkhidmatan pemampatan gas jack-up syarikat kini merupakan penyumbang hasil utama

 


Pada Disember tahun lepas, konsortium itu memperoleh loji penyaman gas keduanya, Papan, bernilai RM4.5 bilion.

 

"Pendapatan jangka terdekat akan didorong oleh pelaksanaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan, dengan pembinaan disasarkan untuk disiapkan pada akhir Q3 CY22, dan akan menjana pendapatan berulang untuk 10 tahun akan datang, di bawah perjanjian ambil atau bayar setelah siap," kata Affin Hwang.

 

Menurutnya lagi, Coastal Contracts memiliki tunai bersih sebanyak RM128 juta pada akhir Mac, membolehkan ia memanfaatkan pertumbuhan projek masa depan.

 

Berdasarkan anggaran konsensus Bloomberg, saham Coastal Contracts didagangkan pada 7.5 kali gandaan harga kepada pendapatan FY23E.

 

Ini adalah diskaun kepada penilaian sektor permodalan kecil minyak dan gas, dan rakan setara yang paling hampir setandingnya yang tersenarai, berdagang pada purata 12 kali nisbah harga kepada pendapatan hadapan. - DagangNews.com