Lonjakan kes COVID-19, sekat kenaikan harga minyak | DagangNews Skip to main content

Lonjakan kes COVID-19, sekat kenaikan harga minyak

 

 

NEW YORK 19 Nov. - Harga minyak lebih rendah daripada paras tertinggi dua bulan selepas sekatan baharu di New York mencetuskan kebimbangan terhadap prospek permintaan walaupun vaksin COVID-19 semakin menjadi kenyataan. 


Menurut Reuters, niaga hadapan susut 0.4% selepas meningkat 0.9% pada Rabu. Pasaran melepaskan beberapa keuntungan dalam dagangan awal Asia selepas New York City menutup sekolah ekoran peningkatan kes COVID-19. 


Harga minyak sebelum itu melonjak selepas Pfizer Inc. dilaporkan mendakwa analisis data ujian akhir mempunyai kadar keberkesanan 95%, meningkatkan harapan ke arah pemulihan penggunaan. 


Bagaimanapun, menurut Pentabiran Maklumat Tenaga (EIA), stok minyak mentah AS menyaksikan peningkatan lebih kecil berbanding jangkaan minggu lalu.


Laporan mengenai perkembangan vaksin telah memacu lonjakan harga minyak sehingga akhir julat dagangannya baru-baru ini tetapi ia tersekat apabila jangkitan COVID-19 semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. 


West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Disember susut 0.4% kepada AS$41.64 setong di New York Mercantile Exchange setakat 7.33 pagi waktu Singapura selepas meningkat 39 sen pada Rabu. 


Harga minyak Brent bagi penempatan Januari pula naik 1.4% kepada AS%44.34 di ICE Futures Europe Exchange dalam dagangan sebelum itu. 


Secara keseluruhan harga minyak dalam pasaran menunjukkan pengukuhan dengan kontrak WTI antara Disember 2021 dan Disember 2022 adalah paling kukuh sejak Februari. 


Laporan EIA juga menunjukkan stok minyak mentah meningkat 769,000 tong minggu lalu berbanding jangkaan peningkatan 1.6 juta tong, menurut kaji selidik Bloomberg. 


Inventori gasolin meningkat manakala bekalan minyak suling menurun lebih daripada 5 juta tong minggu lalu," katanya. - DagangNews.com