Loob Holdings lantik bekas pengurus industri Google sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan Digital baharu | DagangNews Skip to main content

Loob Holdings lantik bekas pengurus industri Google sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan Digital baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Syarikat induk Tealive, Loob Holdings melantik Pengurus industri FMCG Google, Ng Yau Chuan sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan Digital bagi memacu transformasi syarikat dalam menjadi pengendali minuman pelbagai saluran terunggul di Asia Tenggara.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holdings, Bryan Loo berkata, Yau Chuan juga sebelum ini juga bertanggungjawab sebagai pengurus komunikasi dan hal ehwal awam serta analisis industri di Google selain pernah berkhidmat dengan Facebook pada 2016.

 

Beliau juga, memainkan peranan dalam memacu agenda transformasi digital dalam pelbagai sektor seperti industri makan dan minuman, teknologi dan telekomunikasi. 

 

Bryan berkata, Yau Chuan memiliki gabungan pengalaman dalam bidang komersial, teknologi dan industri untuk memenuhi tanggungjawab itu selepas pernah mengetuai kempen pemasaran digital.

 

"Kami mengalu-alukan kehadiran Yau Chuan ke dalam pasukan ini dan berharap kepada pengetahuan pemasaran digitalnya untuk memacu transformasi digital.

 

"Beliau juga akan membantu kami untuk mencari gabungan terbaik bagi perniagaan dalam talian dan luar talian dalam memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan kami di rantau ini.

 

"Kami melihat dunia digital adalah satu keperluan kepada evolusi jenama kami kekal relevan dan berhubung dengan pelanggan daripada pelbagai kumpulan usia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

loob

 

Dalam pada itu, Yau Chuan berkata, visi Tealive adalah untuk menggunakan kelebihan teknologi untuk memberikan pengalaman istimewa kepada pelanggan.

 

Beliau berkata, Tealive berjaya menjadi antara jenama kesukaan dengan memiliki lebih 700 cawangan di Malaysia. 

 

"Apa yang telah dilakukan Bryan dan pasukannya sejak lima tahun lalu sememangnya memberi inspirasi," katanya.

 

Sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan Digital baharu, Yau Chuan berkata, syarikat itu perlu mewujudkan budaya penggunaan data dalam membuat keputusan dan memberi lebih fokus kepada perubahan minat pelanggan.

 

"Penggunaan paltform teknologi yang tepat akan membantu kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya. - DagangNews.com