L’Oreal Malaysia sasar penglibatan 250 salun dalam peniagaan berasaskan digital menjelang 2022 | DagangNews Skip to main content

L’Oreal Malaysia sasar penglibatan 250 salun dalam peniagaan berasaskan digital menjelang 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis -  L’Oreal Malaysia menyasarkan penglibatan 250 rakan kongsi salunnya dalam perniagaan berasaskan digital menjelang tahun 2022 selepas pendekatan itu berjaya menghasil jualan melebihi RM1 juta setiap bulan.

 

Usaha berkenaan adalah hasil kerjasama diantara L’Oréal dan AVANA dalam usaha manfaatkan potensi e-dagang Asia Tenggara yang berjaya mencatatkan jualan sebanyak AS$109 bilion (RM460.42 bilion) pada 2020, 

 

Inisiatif perdagangan sosial itu, pada asasnya membolehkan transaksi e-dagang dijalankan di media sosial selain mewujudkan komunikasi antara pemilik salun dengan pelanggan mereka bagi meningkatkan hasil jualan setiap bulan. 

 

Menerusi pendekatan itu, pemilik salun berpeluang memperkenalkan produk terbaharu mereka dengan pantas bagi menarik perhatian lebih ramai pelanggan

 

Ketua Pegawai Digital L’Oreal Malaysia, Edward Ling berkata, pihaknya sentiasa mencari pendekatan baharu dalam memasarkan produk dan membantu salun di bawah jenama mereka untuk menjalankan perniagaan secara tradisional dan dalam talian.   

 

Katanya, kebanyakan salun di bawah mereka terlibat secara digital dan ia secara tidak langsung membolehkan mereka memberi tumpuan kepada aspek jualan sosial.

 

"Kami melihat AVANA sebagai rakan kongsi yang ideal untuk melaksanakan inisiatif ini kerana ia membolehkan kami untuk mamasarkan produk di laman sosial dan platform digital lain yang digunakan pemilik perniagaan untuk berinteraksi dengan pelanggan. 

 

salun

 

"Kami telah menetapkan penanda aras untuk pertumbuhan perniagaan pasca pandemik melalui jualan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pemilik-pemilik salun yang terlibat dengan inisiatif itu boleh menjual produk mereka di pelbagai saluran media sosial dan boleh memasarkannya secara langsung di Facebook Live Shopping AVANA. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AVANA, Luqman Adris berkata, salun-salun perlu mengekalkan kesetiaan pelanggan dan penglibatan jenama walaupun tidak dapat menyediakan perkhidmatan pendandan rambut secara bersemuka. 

 

"AVANA dapat membantu ratusan salun di platform perdagangan sosial kami dengan cepat, membolehkan pemilik salun menjual produk secara terus kepada pelanggan melalui pelbagai saluran media sosial sebagai aliran pendapatan tambahan sambil mengekalkan pelanggan mereka," katanya. - DagangNews.com