KUALA LUMPUR 14 Mac - Solarvest Holdings Bhd. dijangka merekodkan hasil yang lebih baik bagi tahun kewangan 2023 (FY23) setelah meraih kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) membabitkan skim solar 4 berskala besar (LSS4).
Pada Jumaat lalu, Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB), anak syarikat milik penuhnya memperoleh 3 kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan nilai agregat RM154.4 juta.
Kontrak yang membabitkan TEJA 1 Sdn. Bhd., Kellie Energy Sdn. Bhd. dan TEJA 2 Sdn. Bhd. merangkumi kerja-kerja EPCC untuk membangunkan loji fotovolta solar berskala besar (LSS) di bawah skim LSS4 yang apabila siap akan mempunyai gabungan kapasiti sebanyak 40 megawatt (MW).
Projek-projek itu adalah loji LSS 15 MW di Kampar, Perak oleh TEJA 1 dan loji LSS 15 MW di Kinta, Perak oleh Kellie Energy.
Menurut Maybank Investment Bank (IB) Research, perolehan terbaharu itu secara tidak langsung meningkatkan nilai kontrak Solarvest sebanyak 26% kepada RM742 juta atau 3.3x pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21).
Katanya, ia juga merupakan kontrak kelapan EPCC yang diperoleh kumpulan membabitkan LSS4 dengan jumlah RM572.6 juta, yang perlu diselesaikan pada 2023.
"Dengan menjangkakan margin untung bersih sebanyak 7%, kami mengunjurkan sumbangan untung bersih sebanyak RM10.8 juta bagi FY23-FY24.
"Memandangkan penambahan nilai kontrak ini berada dalam jangkaan kami, justeru, tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu berpendapat, pengumuman tender bagi LSS5 yang dijangka diumumkan tidak lama lagi, ia secara tidak langsung akan mengekalkan momentum nilai kontraknya pada masa akan datang.
Ini mendorong Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Solarvest dengan harga sasaran pada RM1.29.
Ia menjangkakan kumpulan akan mencatatkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 29% hasil dalam tempoh 3 tahun.
Setakat 11.20 pagi ini, harga sahamnya susut 6 sen atau 7.55% kepada 73.5 sen dengan 3.41 juta saham diniagakan. - DagangNews.com