LTAT cadang lupus pegangan dalam Affin Bank, negatif kepada harga saham dalam tempoh terdekat | DagangNews Skip to main content

LTAT cadang lupus pegangan dalam Affin Bank, negatif kepada harga saham dalam tempoh terdekat

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' ke atas saham Affin Bank Bhd. berikutan risiko kreditnya lebih tinggi daripada impak pandemik COVID-19 berbanding pemain industri yang lain.

 

Ini mencerminkan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sebanyak 3.27% setakat akhir Jun 2021, tertinggi dalam kalangan bank di Malaysia di bawah liputannya, menurut penganalisisnya, Winson Ng dalam nota kajian.

 

"Penurunan kepada penarafan semula ini bergantung kepada peningkatan secara meluas dalam nisbah GIL berbanding pemain industri lain apabila nisbah ini mencapai kemuncaknya pada 2022," katanya hari ini. 

 

Malah, beliau turut mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 8.5% dengan mengambil kira kadar Cukai Makmur yang tinggi, lebih daripada mengimbangi impak positif daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). 

 

Bagaimanapun, katanya, ia hanya menaikkan 2.4% unjuran untung bersih bagi FY23 dengan jangkaan OPR akan dinaikkan.

 

"Dengan semakan semula ini, kami kini menganggarkan penurunan 5.4% dalam untung bersih Affin Bank bagi FY22 (disebabkan Cukai Makmur) berbanding unjuran 3.3% pertumbuhan sebelum ini. 

 

"Namun, pertumbuhan untung bersih bagi FY23 adalah lebih melebar daripada 4.8% kepada 17.2% disebabkan asas yang lebih rendah bagi untung bersih FY22 (diheret turun oleh Cukai Makmur) dan impak positif daripada kenaikan OPR," jelasnya. 

 

CGS-CIMB turut meletakkan harga sasaran yang lebih rendah ke atas Affin Bank pada RM1.30 berbanding RM1.27 di sebalik peralihan TP kepada akhir 2022

 

Menurut Ng, selain perbelanjaan cukai yang tinggi berikutan pelaksanaan Cukai Makmur, bantuan bayaran semula yang diberikan kepada peminjam turut menjejaskan pendapatan Affin Bank. 

 

Antaranya, pengecualian faedah ke atas pinjaman kadar tetap pada suku kedua dan ketiga 2020 menyebabkan kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79.7 juta manakala 3 bulan pengecualian faedah kepada peminjam B50 pada suku keempat dan separuh pertama 2022 dijangka memberi kesan negatif sebanyak RM18.7 juta.

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melupuskan pegangan dalam Affin Bank, beliau berkata, langkah itu mungkin tidak dilaksanakan dalam tempoh terdekat. 

 

Ini kerana, katanya, ketika ini sahamnya hanya diniagakan di bawah nisbah aset bersih (P/BV) pada 0.35 kali bagi FY21 dan ia mungkin terdapat kenaikan nilai pelaburan LTAT dalam Affin Bank memandangkan pengurusan sedang berusaha untuk menambah baik pulangan ke atas ekuiti (ROE).

 

"Tetapi, sekiranya LTAT mahu melupuskan pegangan kawalan dalam Affin Bank pada masa akan datang, kami berpendapat ini adalah negatif kepada harga sahamnya dalam tempoh terdekat disebabkan 'overhang' saham (daripada mana-mana jualan saham Affin Bank oleh LTAT dalam pasaran terbuka atau kemungkinan jualan oleh pemeroleh saham Affin Bank daripada LTAT)," jelas beliau.

 

Ng berkata, bagi tempoh jangka masa panjang, ia mungkin positif kerana boleh meningkatkan apungan bebas bagi saham Affin Bank. 

 

"Sama ada ia akan memacu harga saham Affin Bank atau tidak, sebahagian besarnya ditentukan oleh keupayaan bank untuk mengembangkan ROE kerana unjuran ROE kami untuk Affin Bank adalah sebanyak 4.3% pada FY22 dan 4.9% pada FY23, terendah dalam sektor ini.

 

"Pada masa sama, sebarang penilaian semula bagi saham Affin Bank harus datang daripada pengembangan ROE berbanding paras semasa pada 4 hingga 5% bagi merapatkan jurang ROE dengan pemain industri lain," katanya.

 

Dalam laporan media 8 November lalu, LTAT bercadang untuk melupuskan pegangan kawalannya dalam Affin Bank. Ia mempunyai 35.2% pegangan langsung dalam kumpulan perbankan itu manakala 20.4% menerusi Boustead Holdings. LTAT memiliki 59.4% dalam Boustead.

 

Setakat 11.53 pagi ini, saham Affin Bank susut 3 sen atau 1.76% kepada RM1.67 dengan 307,500 saham diniagakan. - DagangNews.com