LTAT untung RM229 juta, umum dividen 3.5%  | DagangNews Skip to main content

LTAT untung RM229 juta, umum dividen 3.5% 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan peningkatan dividen kepada 3.5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20), berbanding 2.5% pada 2019.

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan tabung itu berjaya mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi mencecah RM229 juta berbanding RM92.8 juta pada 2019.

 

“Saya berpuas hati dengan keputusan yang dicapai oleh LTAT bagi tahun 2020, lebih-lebih lagi kerana ianya dicapai walau dengan persekitaran ekonomi yang mencabar berikutan pandemik COVID-19, yang menyebabkan pergolakan ekonomi serta turun naik pasaran pada 2020. 

 

“LTAT turut terkesan dengan dividen lebih rendah yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan bagi tahun tersebut. Saya dimaklumkan bahawa faktor utama yang menyumbang kepada keputusan LTAT yang lebih baik ini adalah kerana kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi melalui Pelan Transformasi LTAT. 

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

“Ini membolehkan tabung untuk mencatatkan peningkatan keuntungan tertahan berjumlah RM287.5 juta selepas bayaran dividen berjumlah RM310.7 juta, berbanding dengan keuntungan tertahan berjumlah RM63.5 juta pada 2019,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Tambah Ismail Sabri, LTAT kini berada dalam tahun ketiga perjalanan transformasi tersebut, dimana 41 dan 53 inisiatif berjaya dilaksanakan masing-masing pada 2019 dan 2020. 

 

Tambahan sebanyak 77 inisiatif lagi akan dilaksanakan pada 2021, dengan matlamat untuk memperkukuh operasi dan prestasi kewangannya serta anak-anak syarikat, ujar beliau lanjut.

 

Katanya lagi, Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik LTAT telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah pada November 2020, dengan matlamat untuk memberi pulangan jangka panjang yang optimum dengan tahap risiko yang bersesuaian. 

 

“Pada 2021, tabung telah memulakan proses penstrukturan semula portfolio pelaburannya secara berperingkat, dengan fokus kepada instrumen pendapatan tetap serta mempertingkatkan pelaburan ekuiti awamnya.

 

“Kami berharap LTAT akan melaksanakan usaha ini bagi kepentingan anggota angkatan tentera yang sedang berkhidmat yang telah berjuang dengan penuh keberanian demi melindungi rakyat daripada pandemik COVID-19 sepanjang tempoh yang mencabar ini. 

 

“Sehingga 31 Disember 2020, aset-aset LTAT di bawah pengurusan berada pada RM9.6 bilion,” tambah beliau. - DagangNews.com