LYC Healthcare ambil alih 49% kepentingan rakan kongsi JV pusat berpantang bernilai RM4.5 juta di Johor Bharu | DagangNews Skip to main content

LYC Healthcare ambil alih 49% kepentingan rakan kongsi JV pusat berpantang bernilai RM4.5 juta di Johor Bharu

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - LYC Healthcare Bhd mengambil alih 49% kepentingan rakan usahasama (JV) Singapura dalam kemudahan penjagaan pantang 67 bilik di Johor Bharu dengan bayaran tunai RM4.5 juta, yang akan dibayar secara ansuran bulanan sebanyak RM300,000.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kemudahan berkenaan dimiliki oleh LYC SOG Mother & Child Sdn Bhd, yang dimiliki 51% oleh LYC Healthcare dan 49% oleh SOG Mummy & Baby Centre Pte Ltd, iaitu anak syarikat SOG Health Pte Ltd di Singapura.

 

LYC Healthcare berkata cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada LYC Healthcare untuk memiliki dan mengawal sepenuhnya unit JV, memberikan fleksibiliti dalam mengembangkan perniagaan penjagaan berpantangnya di Johor.

 

“Pemilikan LYC SOG sepenuhnya juga membolehkan kumpulan LYC mengatur dan memutuskan struktur dan masa untuk mengumpul dana modal baharu, ketika dan apabila diperlukan, bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pelan pengembangan kumpulan dalam perniagaan penjagaan pantang, serta memanfaatkan peluang pertumbuhan masa depan yang lain dalam perkhidmatan berkaitan ibu dan penjagaan anak,” katanya.

 

LYC Healthcare menjangkakan pengambilalihan itu selesai pada suku pertama tahun ini.

 

Saham LYC Healthcare kekal pada 20 sen setakat pukul 4:29 petang ini, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM133.9 juta.  - DagangNews.com