MAG sasar tambah 12 pesawat baharu tahun ini, terima A330neo pertama pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

MAG sasar tambah 12 pesawat baharu tahun ini, terima A330neo pertama pada suku ketiga

MAG kini memiliki 104 pesawat melalui anak syarikatnya Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MASkargo.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan untuk menambah 12 pesawat baharu tahun ini, termasuk Airbus 330-900 (A330neo) pertama yang dijadualkan tiba pada suku ketiga sebagai sebahagian daripada rancangan pemodenan barisan pesawatnya yang berterusan.

 

MAG dalam satu kenyataan media hari ini berkata ia sedang menyasarkan untuk menerima empat daripada jenis pesawat baharu tersebut tahun ini, bersama lapan pesawat Boeing 737-8 bagi menyokong keperluan pertumbuhan rangkaiannya.

 

Pada Ogos 2022, MAG telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon untuk memperoleh 20 pesawat A330neo yang dijadualkan dihantar sehingga 2028.

 

Sebanyak 10 pesawat itu dibeli terus daripada Airbus dengan urusan jual beli serta pajakan balik secara langsung bersama Avolon, manakala baki 10 lagi dipajak terus daripada Avolon.

 

Menurut kumpulan itu, pesawat A330neo akan menyediakan kecekapan operasi yang lebih baik kepada pesawat-pesawatnya di samping membolehkan ia menangani sasaran alam sekitar dengan menawarkan pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sehingga 25%.

 

Pemeroleh pesawat A33neo itu menggariskan komitmen teguh kumpulan dalam usaha untuk menyediakan kemodenan dan meningkatkan standard tawaran perkhidmatannya, sambil memastikan ia dapat menyokong pertumbuhan industri penerbangan pasca-pandemik, tambahnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata penggunaan pesawat A330neo pada suku ketiga tahun ini akan beransur-ansur menggantikan pesawat A330ceo dan beroperasi ke rangkaian kumpulan di seluruh Asia, Oceania dan Timur Tengah.

 

"Perkembangan ini bukan sahaja untuk meningkatkan inventori kami tetapi juga memperkenalkan kelas kabin pertama dengan tempat duduk dan pengalaman baharu yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kepuasan pelanggan secara keseluruhan.

 

 “Pelaburan akan terus disuntik kepada usaha agar selaras secara strategik dengan tonggak utama yang memacu cadangan nilai pelanggan, iaitu keselesaan kabin, sajian dalam penerbangan dan perkhidmatan krew kabin,” ujar beliau.

 

Bagi mengukuhkan lagi program pemodenan barisan pesawatnya, kumpulan juga akan mengubahsuai enam pesawat A350-900 mulai 2026 bagi memastikan penyeragaman kabin yang konsisten dan pengalaman premium untuk pelanggan sejajar dengan kabin A330neo baharu.

 

MAG kini memiliki 104 pesawat melalui anak syarikatnya Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MASkargo.  - DagangNews.com