Mah Sing meterai perjanjian bangunkan pusat perniagaan dengan GDV RM728 juta di Sepang | DagangNews Skip to main content

Mah Sing meterai perjanjian bangunkan pusat perniagaan dengan GDV RM728 juta di Sepang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Mah Sing Group Bhd telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan pusat perniagaaan berkeluasan 74.87 hektar di Sepang dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM728 juta.

 

Kumpulan hartanah itu berkata, Heights Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing South Sea Industrial Development Sdn Bhd (MSSSID) (70% milik Mah Sing) akan membangunkan Mah Sing Business Park yang merupakan pembangunan perindustrian utama.

 

Mah Sing akan membeli tanah seluas 74.87 hektar itu pada pertimbangan pembelian berjumlah RM100.7 juta atau RM12.50 kaki persegi yang memerlukan ia membuat bayaran pendahuluan 10% dan baki 90% dibayar tiga bulan selepas menyelesaikan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

 

"Pemilik tanah Premier Land Resources Sdn Bhd juga telah memberikan pilihan kepada Fusion Heights Development Sdn Bhd untuk membeli tambahan 152.42 hektar pada RM12.50 kaki persegi dalam tempoh empat tahun selepas merasmikan perjanjian jual beli," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut Mah Sing, GDV untuk keseluruhan 227.29 hektar dianggarkan sekitar RM2 bilion termasuk komponen pembangunan setanding.

 

Premier Land Resources bercadang untuk membeli 20% kepentingan dalam Fusion Heights Development, bersamaan dengan 500,002 saham biasa.

 

"Penyertaan pemilik tanah sebagai pemegang saham menambah kredibiliti dan keyakinan kepada kejayaan Mah Sing Business Park.

 

"Struktur pelaburan berperingkat dengan pembelian pertama tanah seluas 74.87 hektar dengan pilihan untuk membeli tanah selebihnya dalam tempoh empat tahun, bersama kos pendahuluan tetap sebanyak RM12.50 kaki persegi, membantu mengurangkan risiko.

 

“Ia juga mewujudkan peluang pertumbuhan tanpa meletakkan tekanan berlebihan pada kunci kira-kira dan kecairan,” jelas Mah Sing..

 

Mah Sing menyasarkan pembangunan itu menarik penggiat pembuatan berteknologi tinggi dan pembuatan nilai.  - DagangNews.com