Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - Selepas mengumumkan telah mencapai sasaran jualannya sebanyak RM1.6 bilion pada 2021, Mah Sing Group Bhd menyasarkan untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion tahun ini dengan menjangkakan prestasi yang lebih baik.
Pemaju hartanah itu berkata, sasaran pelancaran yang lebih tinggi berbanding RM1.4 bilion pada 2021, dipacu oleh jangkaan kumpulan untuk mempercepat pemulihan pasaran hartanah sekiranya pertumbuhan ekonomi global dan domestik yang stabil.
"Mah Sing akan terus membina hartanah dengan harga mampu milik, menyedari bahawa generasi muda mempunyai keperluan penting untuk kediaman sedemikian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, susulan kejayaan kempen jualan yang berjaya pada 2021 seperti "HOME with Mah Sing, "Mah Sing NOW" dan "Come Home 2 Mah Sing", kumpulan itu mengumumkan pelancaran kempen "LIFT OFF with Mah Sing" yang akan mempamerkan 21 projek sepanjang tahun dan memberi ganjaran kepada pembeli dengan faedah, penjimatan dan insentif yang menarik serta bayaran bulanan yang rendah.
Katanya, tahun lalu Kumpulan berjaya dalam strategi teras pemasaran digital dan hartanah mampu milik di lokasi strategik, seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
"Majoriti jualan hartanah 2021 adalah daripada rangkaian mampu milik Siri M, yang terletak secara strategik di seluruh Malaysia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor," katanya.
Penyumbang pendapatan utama ialah M Vertica, M Centura, M Luna dan Meridin East dengan sumbangan juga daripada M Oscar, M Arisa, M Adora, Southville City, Feringghi Residence, Southbay CIty, Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan IPARC.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9MFY21) pendapatannya meningkat 15% kepada RM1.22 bilion daripada RM1.06 bilion berikutan sumbangan hartanah yang bertambah baik manakala sumbangan hotel susut.
Keuntungan bersih dalam 9MFY21 meningkat 79% kepada RM120.85 juta daripada RM67.49 juta, berikutan bahagian hartanah yang bertambah baik.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 (Q3FY21), keuntungan bersih Mah Sing meningkat 54.72% kepada RM40.17 juta daripada RM25.96 juta setahun lalu, walaupun hasil menyusut 6.09% kepada RM364.57 juta, daripada RM388.22 juta . -DagangNews.com