MAHB bantu lebih 1,000 mangsa banjir menerusi inisiatif #MYAirportCARES | DagangNews Skip to main content

MAHB bantu lebih 1,000 mangsa banjir menerusi inisiatif #MYAirportCARES

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberi bantuan makanan dan keperluan asas kepada lebih 1,000 mangsa banjir di Sepang menerusi inisiatif #MYAirportCARES. 

 

Bantuan itu juga diberikan kepada mereka yang mencari perlindungan di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana jalan pulang ke kediaman masing-masing terputus akibat banjir. 

 

Mangsa diberikan pek makann yang terdiri daripada makanan kering dan segera, barang keperluang bayi dan kelengkapan kebersihan untuk digunakan.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Sepang merupakan antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.

 

"Ramai yang terkesan adalah kakitangan lapangan terbang. Kami sedang berusaha membantu mereka termasuk menggerakkan seramai 30 sekurarelawan untuk menghantar bantuan. Buat masa sekarang kami memberikan bantuan kemudahan asas sebagai bantuan awal.

 

"Sekiranya air mulai surut, kami juga akan membantu mereka dengan kerja-kerja pembersihan dan memberikan mereka sedikit bantuan kewangan.

 

"Pihak kami sedang memantau kesan banjir terhadap kawasan sekeliling dan pada masa sama memastikan operasi lapangan terbang berjalan seperti biasa, memandangkan ramai mangsa adalah kaitangan kami, ada sesetengah kakitangan dipanggil semula ketika sedang bercuti dan ada yang melakukan syif berganda bagi menampung kekurangan pekerja," katanya dalam satu kenyataan.

 

Komuniti lapangan terbang sentiasa berjaga-jaga dalam situasi musim tengkujuh ini dalam memastikan operasi berjalan dengan lancar.

 

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalan mereka ke lapangan terbang termasuk menggunakan kemudahan KLIA Ekspress untuk memudahkan perjalanan. - DagangNews.com