Majoriti syarikat China pilih Malaysia kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Majoriti syarikat China pilih Malaysia kembangkan perniagaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Malaysia menjadi negara utama di ASEAN yang dipilih oleh 65% syarikat China untuk mengembangkan perniagaan mereka bagi meningkatkan operasi penjualan dan pengeluaran di ASEAN. 

 

Malaysia mendahului Singapura sebanyak lima mata peratusan, diikuti oleh Thailand (53%), Filipina (44%), Indonesia (37%) dan Vietnam (30%), menurut kajian “Borderless Business: China-ASEAN Corridor” oleh Standard Chartered.

 

Jelas Standard Chartered, hubungan ekonomi yang sekian lama dan kukuh antara China serta Malaysia menjadi peluang pertumbuhan utama di peringkat antarabangsa, dalam kalangan syarikat di negara itu.

 

standard chartered

 

“Pasaran pengguna yang berkembang pesat di rantau ini, landskap pembekal yang cepat matang, dan hubungan perdagangan serantau menawarkan syarikat China potensi pertumbuhan yang kukuh dalam sektor seperti pembuatan, tenaga, dan perkhidmatan digital bernilai tinggi.

 

“Akses ke pasaran pengguna ASEAN yang besar dan berkembang (56%), insentif dan sokongan kerajaan tempatan untuk kesinambungan atau kestabilan projek (54%), serta kehadiran pangkalan pembekal yang matang dan boleh dipercayai (51%) dianggap sebagai pemacu utama dalam memasuki pasaran ASEAN,” jelas Standard Chartered dalam satu kenyataan berhubung kajian berkenaan.

 

Tambah bank itu, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke dalam rantau ini, sekali gus melonjakkan pertumbuhan eksport Malaysia. 

 

Standard Chartered mendapati bahawa 88% responden merancang untuk meningkatkan pelaburan mereka ke dalam ASEAN sekurang-kurangnya sebanyak 25% dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Sebagai rekod, buat masa ini, terdapat 72% perniagaan dari China menjual dan mengeksport ke Malaysia.

 

Standard Chartered yang memetik data oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar China untuk 12 tahun berturut-turut pada 2020. 

 

Ini melibatkan jumlah dagangan bernilai RM329.8 bilion, merangkumi 18.6% daripada jumlah dagangan Malaysia berbanding 17.2% pada tahun 2019.

 

Sementara itu, kajian oleh Standard Chartered juga mendapati seramai 58% responden bersetuju bahawa menyesuaikan model perniagaan dengan amalan dan keadaan industri di ASEAN, memahami peraturan serantau, kaedah pembayaran dan infrastruktur (56%) dan membina hubungan dengan pembekal selain menyesuaikan logistik rantaian bekalan (56%) adalah  cabaran paling penting dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. 

 

Di sebalik risiko dan cabaran berkenaan, tambah Standard Chartered, lebih daripada separuh responden mempertimbangkan antaranya, untuk melaksanakan program digital, memacu inisiatif kemampanan dan persekitaran, sosial dan pentadbiran (ESG) selain membentuk kerjasama baharu.

 

Mengulas mengenai hasil kajian tersebut, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Abrar A. Anwar berkata, setelah berkembang di dalam negara ini selama 146 tahun yang lalu, dan menjadi satu-satunya bank antarabangsa yang hadir di semua pasaran ASEAN, Standard Chartered itu berada dalam kedudukan baik untuk menyokong syarikat bagi menembusi Malaysia. 

 

Abrar A. Anwar
Abrar A. Anwar

 

“Asas ASEAN yang kukuh memacu pertumbuhan dan ketahanannya. Penyelesaian kewangan utama kami dan keupayaan digital canggih menjadikan kami bank sesuai untuk syarikat China yang mempunyai aspirasi pertumbuhan ASEAN,” katanya. - DagangNews.com