Klik dan beli, atau ketik dan bayar, tiada yang mempersoalkan mengenai kewujudan dan integrasi teknologi dalam kehidupan kita hari ini.
Malah industri pelancongan, sebuah industri yang tahan terhadap perubahan, terpaksa mempercepatkan pendigitalan apabila orang ramai kini lebih kerap menggunakan servis dalam talian.
Kebolehsuaian dalam krisis telah mendorong perniagaan untuk menggunakan penyelesaian digital. Namun, teknologi perjalanan terus berkembang pesat, dengan perubahan keutamaan pengguna dan perkembangan global yang memacu inovasi.
Menurut laporan e-Konomi Asia Tenggara 2022 oleh Google, Temasek, dan Bain & Company, ia melaporkan Asia Tenggara mempunyai 460 juta pengguna internet iaitu lebih dua pertiga dari populasinya.
Pengembara yang celik teknologi di rantau ini kini selesa, malah lebih terbuka kepada cara perjalanan berevolusi. Sebagai contoh, 86 peratus pelancong Singapura lebih cenderung memilih hotel yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memperibadikan perkhidmatan dan tawaran mereka.
Tuntutan sedemikian untuk jadual perjalanan yang bermakna dan unik menjadikannya penting bagi platform perjalanan untuk menyediakan pelbagai pilihan yang disusun oleh AI. Banyak pengendali juga melancarkan aplikasi sehenti dengan keupayaan hujung ke hujung - daripada menempah perjalanan sehingga perjalanan pulang ke rumah.
Teras kepada anjakan ini adalah manusia. Pandemik telah meninggalkan titik hitam mendalam yang tidak diingini kepada orang ramai dan kini mereka ingin mengawal kembali kehidupan dengan memberikan ganjaran kepada diri menerusi pengembaraan seumur hidup.
Memandangkan teknologi dan kemudahan menjadi semakin tidak dapat dipisahkan, platform perjalanan mesti mengambil langkah berani untuk menggabungkan yang terbaik dari kedua-dua pihak dan memenuhi era perjalanan baharu.
Peningkatan perjalanan dengan bantuan AI
AI Generatif seperti OpenAI's ChatGPT telah menjadi bualan ramai sepanjang tahun lalu. Daripada penulisan karangan kepada penciptaan imej yang menakjubkan, orang ramai menggunakan perisian untuk menjana kandungan menerusi arahan bertulis. Perancangan perjalanan adalah tugas besar seterusnya.
Sebanyak 32 peratus pengembara di Amerika Syarikat mungkin menggunakan ChatGPT untuk merancang perjalanan mereka. Asia Tenggara berpotensi untuk memperoleh lebih ramai pengguna.
Kajian bersama oleh Yahoo dan firma penyelidikan Milieu Insight terhadap lebih 1,000 rakyat Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa 65 peratus daripada responden ingin meneroka sebanyak yang boleh pada hari cuti atau pelepasan mereka.
Pelaburan dalam AI kini bertepat pada masa, dan buka jika perlu untuk platform perjalanan. Selain daripada chatbot, pengalaman yang diperibadikan dan mendalam akan menjadi penanda aras utama untuk perniagaan dalam industri dengan pantas.
Peluang emas untuk menarik minat pelanggan dengan menawarkan jadual perjalanan khusus dalam hanya beberapa saat tidak boleh dipandang enteng. Menerusi AI generatif, pepatah ‘Kandungan Adalah Raja’ kini beralih kepada ‘Penjanaan Kandungan adalah Raja’.
Dan dalam industri yang kepuasan pelanggan merupakan kepentingan mutlak, platform perjalanan juga boleh memanfaatkan AI dengan meningkatkan keterlihatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Memandangkan PKS membentuk tulang belakang ekonomi Asia Tenggara, jangkauan dipertingkatkan yang diperhalusi oleh AI juga boleh membawa kepada prestasi perniagaan yang lebih baik dan pemasaran yang tepat – sangat kritikal apabila industri perjalanan semakin pulih.
Satu lagi faedah AI yang kadangkala diabaikan oleh organisasi ialah meningkatkan produktiviti tempat kerja. Meringankan masa untuk pekerja membolehkan mereka menjalankan tugas yang lebih penting, menyumbang kepada perkara yang paling penting kepada pengguna: kemudahan.
Satu Aplikasi Untuk Semua
Keselesaan adalah keutamaan dalam kalangan ramai pengembara. Ini merangkumi pengalaman keseluruhan daripada tempahan penerbangan hingga membeli insurans, dan semasa pendaratan. Permintaan yang meningkat untuk kemudahan telah menyokong peningkatan populariti platform semua-dalam-satu.
Pengguna mencari aplikasi tunggal untuk memenuhi keperluan di hujung jari mereka. Mereka juga mengharapkan akses segera kepada maklumat, menjadikannya pertimbangan utama bagi mereka yang mencari pengalaman holistik. Perancangan perjalanan telah menjadi cekap, tetapi tidak dipandang mudah.
Malah, 38 peratus pengembara di Asia Tenggara memihak kepada agensi pelancongan dalam talian yang menawarkan perlindungan perjalanan semasa membuat tempahan. Berbolak-balik antara aplikasi adalah menyusahkan, oleh itu, ramai memilih mengoptimumkan masa mereka dengan lebih baik, terutamanya semasa waktu peningkatan jumlah perjalanan.
Data Traveloka menunjukkan bahawa penerbangan keluar dari Malaysia meningkat lebih dua kali ganda antara Januari dan Mei tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada 2022. Dengan lebih ramai rakyat Malaysia ingin melakukan perjalanan sekali lagi, mereka tidak sabar-sabar untuk mengurangkan masa perancangan dan meneroka lebih banyak lagi.
Agensi kerajaan juga membentuk semula pendekatan mereka. Pada Disember tahun lepas, sektor pelancongan Kuching melancarkan Portal dan Aplikasi Pelancongan Sarawak untuk membantu mempromosikan tarikan pelancong dan produk pelancongan di seluruh negeri. Untuk itu, platform pelancongan boleh menjadi mercu tanda untuk rakan kongsi sektor awam dan swasta dengan mencartakan sempadan baharu.
Kos Teknologi
Walau bagaimanapun, menggabungkan AI generatif memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar. Ia bukanlah rahsia bahawa latihan dan penyelenggaraan model AI boleh menjejaskan kewangan, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro dengan kecairan terhad kerana kos lebih daripada AS$4 juta untuk melatih perisian besar seperti GPT-3.
Syarikat yang mengambil risiko juga mesti berbelanja untuk melatih semula tenaga kerja mereka. Walaupun ini mungkin memberikan faedah dalam jangka panjang, tidak semua perniagaan mempunyai wang tunai yang mencukupi. Mereka mesti mencari keseimbangan antara mengejar masa depan dan bertahan pada masa kini.
Tetapi setinggi mana pun kita bersemangat tentang teknologi, jantung kepada perjalanan masih manusia. Cara untuk melangkah kehadapan adalah dengan mengutamakan pemperibadian di samping terus berinovasi dalam industri.
Dengan fokus tersebut, platform perjalanan boleh memainkan peranan penting dalam mencipta memori yang berkekalan. - DagangNews.com