Malaysia Airlines perkenal perkhidmatan pertukaran terminal eksklusif menggunakan BMW i7 di KLIA bermula 1 Februari 2024 | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines perkenal perkhidmatan pertukaran terminal eksklusif menggunakan BMW i7 di KLIA bermula 1 Februari 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Malaysia Airlines Berhad dan BMW Group Berhad menjalinkan kerjasama bagi memperkenalkan perkhidmatan pertukaran terminal eksklusif antara terminal utama dan bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 1 Februari 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, perkhidmatan menggunakan BMW i7 itu tersedia kepada penumpang Enrich Platinum, Suite Perniagaan dan Kelas Perniagaan syarikat penerbangan itu.

 

Katanya, perkhidmatan 24 jam itu menawarkan pilihan perjalanan premium secara eksklusif untuk penumpang Malaysia Airlines, sebagai tambahan kepada pengangkutan bas premium yang kini disediakan oleh pengendali lapangan terbang berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotrain.


"Menerusi perkhidmatan eksklusif ini, kami berhasrat untuk meningkatkan pengalaman perjalanan kepada pelanggan utama kami selain memastikan mereka boleh menikmati keselesaan premium sebagai sebahagian daripada perjalanan bersama kami.

 

"Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan ini, ia mencerminkan dedikasi kumpulan dalam meningkatkan standard perkhidmatan selain mengkuhkan komitmen kami terhadap kemampanan dengan pemilihan kereta elektrik BMW i7," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perkhidmatan eksklusif itu disediakan kepada pengembara solo, pasangan dan keluarga sehingga empat penumpang bagi setiap kereta bagi memastikan  perjalanan yang lancar dan selesa.

 

Buat masa sekarang, perkhidmatan itu hanya tersedia dari tempat pengambilan yang terletak di pintu G1 bangunan terminal utama ke bangunan satelit.

 

Ahmad Luqman berkata, perkhidmatan penghantaran itu tersedia sehingga perkhidmatan aerotrain di KLIA disambung semula sepenuhnya.

 

Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), perkhidmatan aerotrain dijangka kembali beroperasi pada suku pertama 2025. - DagangNews.com