SUBANG JAYA 3 Okt – Pengeluar kereta nasional, PROTON kekal di kedudukan kedua dalam jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 20.1 peratus untuk bulan September dan sebanyak 19.1 peratus untuk keseluruhan tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, syarikat tersebut mencatatkan jualan domestik dan eksport sebanyak 11,269 unit pada bulan September, menjadikan jumlah jualan tahun hingga kini sebanyak 112,758 unit.
"Jumlah jualan bagi industri automotif menurun pada bulan September, yang secara sejarahnya merupakan bulan yang perlahan, dengan jumlah kuantiti industri (TIV) dianggarkan menurun ke tahap terendah dalam tempoh 17 bulan," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Tambah beliau, anggaran awal menunjukkan, angka tersebut hanya mencapai 56,067 unit, iaitu pengurangan sebanyak 22.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Namun katanya, jumlah anggaran sehingga kini untuk TIV masih lebih baik berbanding 2023, dengan jumlah hampir 590,000 unit, iaitu 3 peratus lebih baik daripada tahun lepas.
Roslan berkata, jualan terbaik PROTON masih kekal dengan Proton Saga, yang mencatatkan 5,162 jualan bulan lepas, menempatkannya di tempat kedua bagi sedan segmen A.
"Selain itu, Proton Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,295 unit, manakala Proton Iriz mendapat jualan yang stabil dengan 345 unit," katanya.
Jelas beliau, bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton pula, tiga model Proton iaitu X90, X70 dan X50 menerajui segmen kereta tersebut apabila masing-masing mencatat jualan 217 unit, 1,466 unit dan 1,771 unit pada bulan September.
Katanya, model lain yang mendahului segmennya untuk jualan tahun ini adalah Proton S70. Sedan segmen C kekal sebagai peneraju jualan kumulatif untuk segmen ini dan menambah 1,013 unit, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 14,768 unit dalam tahun penuh pertama jualannya.
"September secara tradisional adalah bulan yang perlahan bagi industri automotif dan 2024 juga tidak terkecuali.
"Pengurangan dalam kuantiti PROTON adalah jauh lebih kecil berbanding penurunan dalam TIV. Ini menunjukkan cabaran sukar bagi suku akhir tahun untuk industri automotif," katanya.
Dengan dua model SUV yang diperbaharui dan sebuah sedan yang memasuki tahun penuh pertama jualannya, PROTON yakin mempunyai produk yang diperlukan untuk meningkatkan kuantiti jualan dalam tiga bulan akan datang.
Ini akan diperkukuh dengan aktiviti promosi dan pelancaran kempen di seluruh negara untuk memberi ganjaran kepada pelanggan dengan hadiah dan anugerah yang menarik.
"Pada masa yang sama, usaha kami untuk memberikan pengalaman jenama premium di pusat jualan dan meningkatkan perkhidmatan selepas jualan akan diteruskan sebelum memuncak dengan pelancaran tawaran EV pertama kami pada bulan Disember," katanya. - DagangNews.com