Pertama Digital beri jaminan pertumbuhan mampan kepada pelabur disebalik kejatuhan 30% harga saham | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital beri jaminan pertumbuhan mampan kepada pelabur disebalik kejatuhan 30% harga saham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Pertama Digital Bhd tidak mengetahui sebab sebenar penurunan harga sahamnya mencatatkan penurunan ketara baru-baru ini tetapi memberi jaminan kepada pelabur, kumpulan itu berada pada kedudukan positif untuk pertumbuhan yang mampan, kata Pengarah Eksekutifnya Sabri Ab Rahman.

 

Harga saham pembekal perkhidmatan digital itu mencecah had semasa perdagangan pagi dan menjunam ke paras terendahnya dalam tempoh dua tahun, jatuh 30%, atau 48 sen kepada RM1.12 sesaham.

 

Bursa Malaysia telah menggantung jualan pendek harian dalam sekuriti untuk baki hari itu memandangkan penurunan lebih 15% daripada harga rujukan.

 

Kumpulan itu berkata, beberapa bulan kebelakangan ini, syarikat itu berjaya mengubah keputusan negatif suku sebelumnya, dengan barisan produk baharu yang memberikan sumbangan ketara kepada prestasi mereka.

 

"Kami berbangga kerana telah bergerak ke trajektori yang positif, didorong oleh kerja keras pasukan kami dan impak yang semakin meningkat daripada penawaran digital inovatif. 

 

"Kumpulan ini juga juga telah menyelesaikan pengurangan kos strategik dan memperkemas operasi bagi memastikan aliran tunai yang sihat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pertama Digital menerima lanjutan masa (EOT) daripada Bursa Malaysia untuk menyerahkan pelan penyusunan semula pada minggu pertama Februari 2025.

 

Katanya, lanjutan itu membolehkan kumpulan memuktamadkan beberapa inisiatif utama, termasuk cadangan pengambilalihan pegangan kawalan dalam Kridentia Tech Sdn Bhd (KT).

 

"Pemerolehan ini adalah penting untuk unjuran pertumbuhan pada 2025. 

 

"Rekod prestasi dan keupayaan KT yang terbukti sejajar dengan visi Pertama Digital, dan kami teruja untuk memuktamadkan perjanjian ini sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula kumpulan.

 

"Kami membuat unjuran untuk menyerahkan pelan penuh sebelum akhir tahun ini, jauh lebih awal daripada tarikh akhir yang diberikan," kata Sabri.

 

Pertama Digital pada 27 September 2024 mengumumkan pengarah bukan eksekutif, Tan Sri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani telah meletak jawatan daripada lembaga pengarah.

 

Norzrul ialah pemegang saham utama syarikat dengan 11.44% kepentingan. Beliau juga berkhidmat sebagai pemangku Pengerusi Eksekutif T7 Global Bhd.

 

Awal minggu ini, kumpulan itu mengumumkan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Reza Mohd Hatta juga telah meninggalkan syarikat itu.

 

Semasa kumpulan itu bergerak ke hadapan, Sabri telah menjadi pengarah eksekutif dan bekerjasama rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista, Joshua Smith, yang merupakan individu penting untuk eJamin, rumusan pembayaran jaminan digital utama syarikat yang dilancarkan pada 2020.

 

“Pasukan kepimpinan kami lebih kuat berbanding sebelum ini. Perubahan terkini di lembaga pengarah, termasuk pemergian Mohd Reza sebelum tempoh pengesahannya untuk mengejar peluang lain, adalah sebahagian daripada langkah strategik menyelaraskan barisan kepimpinan dengan keperluan kumpulan yang semakin berkembang.

 

"Kami terus memacu ke hadapan dengan pasukan teras yang berdedikasi, termasuk Joshua dan lembaga pengarah sedia ada bagi memastikan kesinambungan strategik dan meletakkan syarikat untuk pertumbuhan masa depan," kata Sabri. - DagangNews.com