Malaysia akan memudahkan lagi proses penyenaraian di Bursa Malaysia, tarik lebih ramai pelabur - SC | DagangNews Skip to main content

Malaysia akan memudahkan lagi proses penyenaraian di Bursa Malaysia, tarik lebih ramai pelabur - SC

Dari kiri, Chu Kok Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan, Kumpulan CIMB sebagai moderator dengan ahli panel iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Seri Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift pada sesi Invest Malaysia New York 2023 di New York pada 21 September 2023.

KUALA LUMPUR 22 Sept - Proses tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia kekal sihat dengan jangkaan 35 hingga 40 IPO dilaksanakan tahun ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Seri Awang Adek Hussin.

 

Bercakap di Invest Malaysia New York 2023, Awang Adek berkata Malaysia akan memudahkan lagi syarikat untuk menyenaraikan di pasaran Malaysia dan menarik lebih ramai pelabur.

 

"SC sedang berusaha untuk mempercepatkan proses IPO dan mengurangkan masa ke pasaran untuk memastikan daya saing dan daya tarikan Malaysia," tambahnya.

 

Bagi enam bulan pertama 2023, Awang Adek berkata jumlah dana yang diperoleh dalam pasaran ekuiti dan bon korporat mencecah RM58.9 bilion.


“Ini menandakan bahawa pasaran ekuiti dan bon kekal sebagai sumber pembiayaan penting bagi sektor swasta.

 

“Ketahanan pasaran adalah disebabkan oleh pelbagai faktor iaitu kepelbagaian, kecairan yang mencukupi, dan infrastruktur dan tadbir urus yang kukuh, menyumbang kepada keupayaan pasaran untuk menahan kejutan luaran dan menarik pelabur domestik dan antarabangsa,” katanya.

 

Menurut Awang Adek, pasaran modal akan dipertingkatkan untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar, rangkuman dan kemampanan, selaras dengan aspirasi Rangka Kerja Ekonomi Malaysia Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu.

 

Inisiatif pasaran modal yang telah diumumkan untuk meningkatkan kerancakan pasaran dan meningkatkan akses pelabur termasuk promosi automatik PLC yang layak daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, pengurangan nilai setem dan membolehkan dagangan saham pecahan oleh pelabur melalui broker saham dan memperkenalkan Rangka kerja Skim Pengecualian Asing.

 

Pada 2022, pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih di pasaran Malaysia buat kali pertama sejak 2017.

 

Setakat ini, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih dalam pasaran bon, mencatatkan aliran masuk RM27.4 bilion setakat Ogos 2023. - DagangNews.com