Malaysia antara destinasi pelaburan strategik, menarik bagi syarikat Jepun - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia antara destinasi pelaburan strategik, menarik bagi syarikat Jepun - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe membincangkan dan bertukar pandangan mengenai hubungan perdagangan dua hala, pandemik COVID-19, kerjasama pelaburan, perkembangan geopolitik antarabangsa dan isu serantau, malam tadi.

 

Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, kerajaan menghargai lawatan Abe yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun yang menggambarkan keakraban hubungan kedua-dua negara, terutamanya sempena meraikan ulang tahun diplomatik ke-65 Malaysia-Jepun tahun ini.

 

"Tahun ini ialah Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Malaysia antara satu destinasi pelaburan yang strategik dan menarik bagi syarikat Jepun.

 

"Dasar ini telah menyumbang kepada pembangunan sumber manusia, peluang pendidikan dan latihan di universiti-universiti dan syarikat-syarikat Jepun, terutamanya dalam bidang berkemahiran tinggi dan teknologi canggih," katanya. 

 

Ismail Sabri berkata, Malaysia juga komited dengan inisiatif penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang kini dalam proses untuk dimuktamadkan. - DagangNews.com