KUALA LUMPUR 21 Dis. - Para penganalisis antarabangsa mungkin maklum Malaysia dalam dilema.
Negara bakal memasuki 2021 dengan belanjawan terbesar dalam sejarah, tetapi kes jangkitan COVID-19 yang kian mencanak saban hari meletakkan kebimbangan bagaimana Malaysia akan menguruskan peruntukan itu.
Kerajaan menjangkakan pendapatan negara akan meningkat 4.2% pada tahun hadapan, meletakkan harapan pertumbuhan hasil terhadap kutipan cukai lebih tinggi.
Tetapi, negara tidak meningkatkan kadar atau memperkenalkan cukai baharu.
Kerajaan dalam masa sama perlu ‘mencari jalan’ untuk tidak bergantung kepada aliran hasil minyak.
Ahli Ekonomi di Banking Corp. di Singapura, dalam laporan Bloomberg seolah-olah memberi petunjuk bahawa negara perlu mencapai sasaran perkembangan ekonomi pada tahun hadapan.
Katanya: “Sekiranya ekonomi tidak pulih dengan kukuh seperti yang dijangkakan kerajaan iaitu 6.5% hingga 7.5%, kekurangan pendapatan mungkin berlaku.”
Jangkitan gelombang ketiga kes COVID-19 menjadi seperti sebuah tembok tinggi yang menghalang negara untuk pulih dengan cepat.
Malaysia tersepit antara mengekang penularan COVID-19 atau memberi ruang kepada perniagaan-perniagaan dalam negara ketika ini untuk ‘bernafas’.
Disebabkan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang khasnya mengumumkan pelbagai kelonggaran kepada sektor pelancongan dan rekreasi.
Malah, turut memberikan kebenaran untuk rentas negeri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi dikuatkuasa di beberapa kawasan.
Ibarat sebuah perjudian besar, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ekonomi negara pada tahun ini dijangka mencapai -5.5%.
Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) sebelum ini turut membuat jangkaan hampir sama iaitu 5.4% pada 2020, tetapi memberi amaran pencapaian pemulihan ekonomi negara akan lebih berliku.
Sementara itu, masalah yang dihadapi Malaysia ketika ini adalah negara mempunyai sumber sedikit untuk meraih pendapatan.
Sejak kerajaan terdahulu memansuhkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), negara kini bergantung kepada hasil minyak dan gas serta dividen, di bawah tanggungjawab Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Malaysia terjejas apabila harga minyak menguncup pada tahun ini, menyaksikan 14% penurunan dalam hasil kerajaan bagi 2020.
Dalam laporan Bloomberg yang sama, Ahli Ekonomi Malaysia Rating Corp, Firdaos Rosli berkata, ditambah dengan beberapa ekonomi utama beralih kepada tenaga hijau, sumbangan petroleum kepada hasil kerajaan dijangka menurun.
“Kerajaan perlu mengembangkan asas pendapatan negara dengan segera kerana perbelanjaan dijangka meningkat untuk membiayai usaha pemulihan ekonomi.
“Kerajaan akan rugi sekiranya meningkatkan perbelanjaan, tetapi tidak memanfaatkan penggunaan cukai,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Zafrul ada mendedahkan bahawa kerajaan sedang mengkaji model percukaian lain termasuk pelaksanaan semula GST.
Bagaimanapun, ramalan pertumbuhan ekonomi negara oleh agensi penarafan antarabangsa seperti Fitch Ratings dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) jatuh dalam julat jangkaan kerajaan iaitu antara 6.5% hingga 7.5% pada tahun hadapan. - DagangNews.com