KUALA LUMPUR 30 Sept - Kerajaan Malaysia buat julung kalinya berjaya menerbitkan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia Lestari (MGII1 Lestari) berjumlah RM4.5 bilion dalam pasaran domestik.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permintaan yang kukuh terhadap MGII Lestari dibuktikan melalui lebihan langganan sebanyak 2.38 kali dengan kadar keuntungan ditetapkan pada 4.662%.
Katanya, jumlah bidaan sebanyak RM10.7 bilion adalah yang tertinggi sejak Julai 2019 untuk terbitan MGS2/MGII jangka panjang (≥15 tahun).
"Permintaan yang tinggi mencerminkan keyakinan berterusan oleh pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan prospek pertumbuhan positif untuk 2022.
"Terimaan terbitan MGII Lestari akan digunakan untuk membiayai atau membiayai semula perbelanjaan sosial dan hijau yang ditetapkan, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia, sama seperti terbitan Sukuk Kelestarian Berdenominasi Dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terbitan itu bukan sahaja membolehkan Malaysia memenuhi komitmen sebagai negara yang bertanggungjawab terhadap Perjanjian Paris, tetapi turut meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
Di samping itu, terbitan ini membuktikan usaha kerajaan mempercepatkan tindakan iklim serta peralihan ke arah negara yang makmur, inklusif dan mampan selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021–2025.
"Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelabur yang jelas telah menunjukkan keyakinan mereka kepada terbitan sulung Sukuk MGII Lestari, yang telah terlebih langgan," kata beliau.
Tengku Zafrul berkata, kepercayaan dan pengiktirafan pelabur bukan sahaja terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh, tetapi juga dari segi daya tahan ekonomi negara.
"Terbitan ini juga adalah bukti keupayaan inovatif dan kepimpinan industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan objektif kelestarian, untuk memakmurkan seluruh Keluarga Malaysia," tambahnya.
MGII Lestari berjaya menarik pelbagai jenis pelabur dan telah diagihkan kepada institusi kewangan tempatan (50.3%), pelabur institusi (38.4%), syarikat insurans (7.2%) dan pelabur bukan pemastautin (4.1%). Terbitan MGII Lestari baharu ini dijangka dapat menarik lagi permintaan terutamanya dari pelabur yang menguruskan portfolio kelestarian.
Sebagai terbitan MGII kelestarian domestik yang pertama, terbitan itu merupakan penanda aras baharu dan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia. - DagangNews.com