Malaysia catat kadar pengangguran terendah kali pertama sejak April 2020 | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat kadar pengangguran terendah kali pertama sejak April 2020

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kadar pengangguran pada November 2021 berkurangan kepada di bawah 700,000 orang buat kali pertama, paling rendah sejak April 2020, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Dato Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, situasi tenaga buruh pada November 2021 kekal stabil dengan pertumbuhan pekerjaan yang berterusan dan pengurangan bilangan penganggur susulan kebangkitan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial yang telah merangsang suasana positif kepada pasaran buruh.

 

Ujarnya, ia merupakan penurunan sebanyak 1.5% bulan ke bulan (mom) kepada 694,400 orang, berbanding 705,000 pada Oktober 2021.

 

“Kadar pengangguran pada November 2021 adalah 4.3%, tidak berubah daripada bulan sebelumnya, kerana lebih ramai dalam kumpulan tidak aktif mencari pekerjaan yang kemudiannya mencerminkan penurunan 0.3% dalam tenaga buruh luar kepada 7.34 juta orang pada bulan itu berbanding bulan sebelumnya, 7.36 juta orang.

 

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2021 meningkat lagi kepada 68.9% (Oktober 2021: 68.8%), dengan jumlah tenaga buruh lebih tinggi sebanyak 0.3% kepada 16.3 juta orang (Oktober 2021: 16.26 juta orang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mohd Uzir berkata bilangan pekerja yang bekerja pada November terus meningkat untuk tempoh empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 0.4% mom mencatatkan 15.61 juta orang, berbanding 15.55 juta orang pada Oktober. 

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk, yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan, meningkat 0.2 mata peratusan kepada mencatat 66% pada November 2021.

 

"Selain itu, kadar vaksin penuh keseluruhan kekal dalam peningkatan, manakala bilangan kes harian COVID-19 terus menurun. 

 

"Keadaan yang menggalakkan ini menyebabkan lebih banyak aktiviti melancong dalam dan luar negara pada bulan itu, sekali gus mempengaruhi pasaran buruh pada November 2021,” katanya. 

 

Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, trend peningkatan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan kekal terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman, serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan. -DagangNews.com