PHNOM PENH 24 Feb - Malaysia dan Kemboja berpandangan isu Ukraine dan Russia perlukan dialog untuk mencari penyelesaian damai bagi kedua-dua negara berjiran itu, kata Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen.
"Walaupun kita jauh dan kita adalah negara kecil, tetapi isu antarabangsa seperti ini adalah sangat penting. Pemimpin sentiasa mempunyai perbincangan satu sama lain.
"Saya dan juga Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga membincangkan isu ini, apa yang kita ingin lihat adalah penyelesaian damai," katanya pada sidang media bersama Ismail Sabri sempena lawatan perdana menteri Malaysia itu ke negara berkenaan.
Hun Sen berkata demikian apabila ditanya sama ada mereka ada berbincang mengenai isu Ukraine dan Russia ketika pertemuan empat mata hari ini.
Ditanya pendapat Kemboja selaku Pengerusi ASEAN berkenaan isu Ukraine dan Russia itu, Hun Sen berkata ASEAN belum ada konsensus mengenai perkara berkenaan.
"Saya dan Perdana Menteri Malaysia berpendapat bahawa ASEAN memerlukan satu suara (supaya suara itu) menjadi kuat. Oleh itu sebarang kenyataan perlu mendapat konsensus ASEAN termasuk dalam isu Ukraine," katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Khamis telah mengisytihar darurat di seluruh negara ketika tentera Russia memasuki sempadannya dan menyerang sasaran di Kyiv, dengan letupan kedengaran di banyak bandar Ukraine.
Sementara itu Ismail Sabri ketika ditanya mengenai pandangan Malaysia berhubung lawatan Hun Sen ke Myanmar berkata, beliau diberitahu bahawa lawatan itu adalah untuk membawa suara ASEAN dan konsensus lima perkara mengenai situasi di Myanmar.
Ia terdiri daripada - pertama, keganasan di Myanmar perlu dihentikan serta-merta dan semua pihak hendaklah menahan diri daripada melakukan apa-apa tindakan, kedua dialog yang membina dalam kalangan semua pihak yang berkaitan hendaklah dimulakan bagi mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat, lapor Bernama.
Ketiga, utusan khas Pengerusi ASEAN hendaklah membantu menjadi pengantara dalam proses dialog dengan bantuan Setiausaha Agung ASEAN, keempat, ASEAN hendaklah menyediakan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA, dan kelima, delegasi serta utusan khas akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkaitan.
Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana (Pusat AHA) ialah sebuah organisasi antara kerajaan yang dibangunkan dengan tujuan memudahkan kerjasama serta penyelarasan dalam kalangan Negara Anggota ASEAN dan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta organisasi antarabangsa untuk pengurusan bencana dan tindak balas kecemasan di rantau ASEAN. - DagangNews.com