Malaysia dapat vaksin COVID-19 95% berkesan Pfizer Inc. bermula 3 bulan pertama 2021 - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia dapat vaksin COVID-19 95% berkesan Pfizer Inc. bermula 3 bulan pertama 2021 - PM

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Malaysia bakal menerima sehingga 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer Inc. pada tahun hadapan. 

 

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menurut Bernama. 

 

Bekalan vaksin itu dapat menampung keperluan imunisasi sehingga 20% atau 6.4 juta rakyat Malaysia. 

 

Kata Muhyiddin, penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan, 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat.

 

“Perjanjian dengan syarikat berkenaan bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin itu sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.

 

“Pfizer pada 9 November lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95%,” katanya.

 

Menurut Perdana Menteri, perkembangan itu merupakan hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan dengan syarikat itu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa lalu.

 

Pada awal bulan ini, Pfizer dan syarikat Jerman, BioNTech Inc berjaya menemukan percubaan vaksin yang berkesan sehingga 90%.

 

Seminggu selepas itu, percubaan mereka terbukti berkesan sehingga 95% setelah diuji ke atas 40,000 sukarelawan. 

 

Ketika ini, terdapat tiga syarikat yang telah mendedahkan penemuan vaksin termasuk Moderna Inc. yang juga merupakan syarikat farmaseutikal AS. 

 

Sebelum ini, kerajaan telah mengesahkan penyertaan Malaysia dalam program akses COVID-19 Global Vaccine Access (COVAX).

 

Keputusan untuk Malaysia menyertai kemudahan COVAX akan melibatkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan 'risk sharing guarantee' berjumlah AS$22.6 juta atau anggarannya RM94 juta.  - DagangNews.com