Malaysia diramal terajui pelaburan cip semikonduktor ASEAN, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Malaysia diramal terajui pelaburan cip semikonduktor ASEAN, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Malaysia diramal berada pada kedudukan hadapan bagi mendapatkan pelaburan dalam cip semikonduktor ASEAN berikutan rangkaian bekalannya yang baik serta kos perniagaan yang berpatutan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, komitmen pelaburan yang diluluskan ke dalam kelompok elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia meningkat hampir tiga kali ganda pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

 

"Momentum berterusan pada suku pertama 2024 dengan pelaburan melonjak hampir 20 kali ganda tahun ke tahun kepada AS$7.3 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia dan Vietnam menyaksikan peningkatan ketara dalam eksport semikonduktor antara 2015 dan 2022, menunjukkan kejayaan negara dalam menarik pelaburan membuat cip.

 

Maybank IB berkata, ASEAN merupakan pengeksport semikonduktor terbesar dunia, menyumbang 23% daripada eksport cip global pada 2022, dengan Singapura (10.8%) dan Malaysia (7.0%) menjadi peneraju di rantau ini.

 

Kelebihan Malaysia terletak pada pemasangan hiliran, ujian dan pembungkusan (ATP), menyumbang 7% daripada kapasiti ATP global, yang terbesar di ASEAN.

 

Maybank IB berkata, beberapa ekonomi ASEAN yang sensitif perdagangan, termasuk Malaysia, mendapat manfaat daripada peningkatan dalam semikonduktor global dan kitaran elektronik yang lebih luas pada 2024.

 

"ASEAN mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan pembuat cip global melangkaui Asia Utara, di tengah-tengah peningkatan sekatan teknologi Amerika Syarikat ke atas China, dan peningkatan ketegangan antara China dan Taiwan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemasukan pelaburan langsung asing semikonduktor akan membantu memacu pertumbuhan pembuatan dan eksport di ASEAN dalam jangka panjang.

 

Melangkah ke hadapan, Maybank IB menjangka pemulihan sektor elektronik ASEAN akan mengukuh dan meluas pada separuh kedua 2024 dan 2025.

 

Katanya, peningkatan dalam jualan barangan elektronik akhir seharusnya mendorong permintaan semikonduktor, menyokong eksport Singapura dan Malaysia.

 

"Permintaan akan meluas melangkaui cip nod lanjutan, memandangkan telefon pintar bergantung pada rangkaian luas cip memori dan cip untuk sistem kedudukan global (GPS), wi-fi, hayat bateri dan kawalan kamera," katanya.- DagangNews.com