KUALA LUMPUR 7 Feb - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengadakan pertemuan bagi perbincangan dua hala antara Malaysia dan Iran dalam sektor agrikomoditi di Tehran, Iran.
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pertemuan serampang dua mata antara Menteri Pertanian Jihad Iran, Dr. Javad Sadati Nejad mengukuhkan lagi inisiatif kerjasama dalam prospek meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia.
"Kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak Iran kini mencapai sejumlah 2.2 juta tan setiap tahun.
"Malaysia menguasai 78% pasaran minyak dan lelemak di Iran sepanjang tahun 2020 dan mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 315,699 tan bernilai RM895 juta," katanya.
Yang turut hadir Timbalan Setiausaha kementerian, Mad Zaidi Mohd Karli; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Wan Aishah Wan Hamid. - DagangNews.com