Malaysia ketinggalan dalam segmen kereta elektrik | DagangNews Skip to main content

Malaysia ketinggalan dalam segmen kereta elektrik

Kenderaan elektrik (EV). Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Malaysia dilihat ketinggalan berbanding negara-negara ASEAN lain dalam segmen kenderaan elektrik (EV).

 

Maybank IB Research berkata, ini kerana fokus dasar automotif negara masih 'kabur' terhadap segmen berkenaan.

 

"Malaysia dan Filipina masih berada di belakang dalam segmen kenderaan elektrik ASEAN.

 

"Dasar Automotif Nasional Malaysia dilihat masih kurang jelas dalam perancangan kenderaan elektrik dalam aspek pelaburan dan insentif, membuatkan negara ketinggalan berbanding negara serantau lain," jelas Maybank IB Research.

 

.

 

Dalam aspek pelaburan pula, Porsche AG kini sedang membuat perbincangan lanjut untuk menubuhkan kilang pemasangan (bagi pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) model Macan & Cayenne) untuk pasaran ASEAN.

 

Hyundai pula telah menutup Asia Pasifik HQ di Kuala Lumpur dan berpindah ke Indonesia.

 

Mengulas lanjut, Maybank IB Research memberitahu, Thailand muncul sebagai negara paling agresif menumpukan segmen kenderaan elektrik berbanding negara-negara ASEAN lain.

 

Usaha itu bertujuan untuk menjadikan Thailand sebagai hab kenderaan elektrik bagi ASEAN menjelang 2025.

 

"Thailand telah menetapkan sasaran untuk menghasilkan 250,000 kenderaan elektrik, 3,000 bas awam elektrik, dan 53,000 motosikal elektrik.

 

"Ia bertujuan untuk meningkatkan bahagian pasaran pengeluaran domestik (2.5 juta unit) kepada 30% (atau 750,000 unit) pada tahun 2030 serta 1.2 juta unit lain pada 2036," ujar Maybank IB Research lagi.

 

Dalam pada itu, Thailand juga telah menjalankan beberapa inisiatif seperti segmen perniagaan yang menjalankan THB5b bernilai AS$165 juta atau projek EV yang lebih besar yang akan dikecualikan cukai korporat selama lapan tahun.

 

Tambah Maybank IB Research, Indonesia dan Singapura turut menyusun langkah dalam segmen kenderaan elektrik.

 

.

 

Sehubungan itu, Indonesia telah meletakkan sasaran minimum sebanyak 20% kenderaan di negaranya menjadi kenderaan elektrik menjelang 2025.

 

Hingga kini, negara tersebut telah menarik pelbagai program pelaburan yang berkaitan dengan EV seperti Toyota (AS$2 bilion), Hyundai (AS$1.55 bilion)dan China’s Contemporary Amperex Tech (AS$5 bilion) di samping Tesla dan LG Chem sebanyak AS$9.8 bilion bagi kilang bateri EV.

 

Ia seiring dengan kapasiti Indonesia selaku pengeluar terbesar nikel di dunia yang menjadi komponen utama pembuatan bateri kenderaan elektrik.

 

Bagi Singapura, Maybank IB Research memberitahu, negara tersebut mensasarkan untuk menghentikan kenderaan ICE pada 2040.

 

"Negara tersebut akan memperuntukkan sebanyak SG$30 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi inisiatif berkaitan dengan kenderaan elektrik," kata firma penyelidik itu lagi. - DagangNews.com