Malaysia penerbit sukuk SRI terbesar di ASEAN bernilai AS$3.9 bilion | DagangNews Skip to main content

Malaysia penerbit sukuk SRI terbesar di ASEAN bernilai AS$3.9 bilion

KUALA LUMPUR 10 Mac – Malaysia menerajui terbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dalam kalangan negara ASEAN6, merangkumi nilai terbitan AS$3.9 bilion atau 56% daripada jumlah terbitan sukuk SRI ASEAN, setakat November 2021.

 

Ini berdasarkan penyelidikan bertajuk Trending: Sustainable Responsible Investment in Malaysia and the Region yang diterbitkan Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. dan Platform Pelaburan Mampan (SIP) Capital Markets Malaysia.

 

Laporan penyelidikan tersebut mengenai trend pertumbuhan SRI di Malaysia dan 5 negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam (dikenali sebagai ASEAN 6).

 

Penerbitan itu mengetengahkan pandangan bagaimana negara-negara ASEAN6 melaksanakan SRI dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di tengah-tengah landskap pelaburan dan kewangan global yang sedang berkembang dan disokong oleh dasar nasional negara masing-masing.

 

Rakan pengurusan Malaysia Ernst & Young PLT, Datuk Abdul Rauf Rashid berkata, pihaknya melihat badan korporat dan organisasi Malaysia beserta rakan serantau lain, melipatgandakan usaha untuk melaksanakan strategi dan agenda ESG. 

 

"Usaha yang diambil ini akan meningkatkan daya tahan dan kemampanan jangka panjang mereka," katanya dalam kenyataan baru-baru ini. 

 

 

EY
Sumber : Ernst & Young Consulting

 

 

Menurut laporan penerbitan tersebut, pihak berkuasa kawal selia ASEAN6 sedang membangunkan dasar dan pelan tindakan sejajar dengan perkembangan dan inisiatif dasar global bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030.

 

Ini termasuklah agenda atau pelan hijau, pelaburan mampan, pelan pembangunan tenaga atau kuasa, rancangan penyesuaian atau mengurangkan perubahan iklim.

 

Pada masa sama, bursa saham ASEAN6 juga secara beransur-ansur menerima pakai amalan SRI dan ESG, seiring dengan perkembangan ini.

 

Ketika ini, lebih dua pertiga (68%) daripada jumlah bon dan sukuk ASEAN6 ditumpukan kepada pelaburan dalam 3 sektor utama iaitu tenaga (49%), bangunan hijau (10%) dan pengangkutan (9%).

 

Menjelang 2030, ekonomi hijau/karbon rendah ASEAN dijangka menyediakan potensi peluang perniagaan tahunan bernilai hampir AS$1 trilion, manakala sektor tenaga boleh diperbaharui rantau ini dijangka dapat menarik purata pelaburan kira-kira AS$50 bilion setahun dari 2025 hingga 2030.

 

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa pemandu SIP, Lya Rahman berkata, pertumbuhan pantas bon dan sukuk mampan ASEAN, beserta peningkatan tumpuan kepada sektor hijau, menyokong komitmen ASEAN6 bagi mencapai agenda kemampanan global menjelang 2030.

 

Katanya, prospek pertumbuhan adalah cerah dengan mengambil kira permintaan pelabur yang semakin meningkat bagi produk bertemakan kemampanan, terutamanya dengan meningkatnya kebimbangan terhadap impak perubahan iklim.

 

"Usaha Malaysia yang memberi fokus dalam bidang pelaburan ini bersedia untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya dalam terbitan sukuk yang mampan," jelas beliau. - DagangNews.com