Malaysia raih pelaburan baharu bernilai lebih RM500 juta daripada Ferrotec | DagangNews Skip to main content

Malaysia raih pelaburan baharu bernilai lebih RM500 juta daripada Ferrotec

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ferrotec, Eiji Miyanaga di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

SAN FRANCISCO 17 Mei - Firma Ferrotec (USA) Corporation menyatakan komitmennya untuk membuat pelaburan baharu bernilai lebih RM500 juta di Malaysia bagi membuka kemudahan pembuatan pertamanya di Asia Tenggara.

 

Pembinaan yang dijangka bermula dalam masa beberapa minggu lagi melibatkan kawasan seluas 8.13 hektar dengan kilang bersaiz 800,000 kaki persegi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, syarikat global yang juga pembekal bahan komponen, sistem ketepatan  dan peneraju fabrikasi bahan kuarza bagi industri semikonduktor di serata dunia, juga komited untuk mewujudkan sejumlah 250-500 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

 

“Mereka juga memberi komitmen untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dalam membina rantaian bekalan dan ekosistem industri semikonduktor.

 

“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif di mana syarikat tersebut bukan sahaja mahu membawa pelaburan ke Malaysia, tetapi (pada masa sama) ingin melihat Malaysia terus berkembang maju dalam teknologi-teknologi baharu dengan melibatkan syarikat-syarikat tempatan khususnya PKS,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Ferrotec, Eiji Miyanaga di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

Mohamed Azmin  juga mencadangkan supaya Ferrotec melatih pekerja Malaysia, khususnya di kemudahan berpengkalan di AS atau  Jepun dengan melibatkan penuntut atau warga Malaysia berstatus profesional yang menetap di dua negara tersebut.

 

Selain Ferrotec, beliau turut bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama syarikat peneraju penjejak solar, Nextracker Inc., Marco Miller. 

 

jemin

 

Menurutnya, Nextracker akan berusaha meningkatkan produk-produk dari Malaysia untuk menembusi pasaran AS serta di seluruh dunia.

 

jemin

 

Sementara itu, Miyanaga berkata syarikat itu mempunyai kira-kira 40 kilang di peringkat global dan kemudahan di Malaysia adalah platform pembuatan terbesarnya di luar Jepun, China serta AS.

 

“Kami memilih Malaysia kerana Asia Tenggara, termasuk Malaysia telah menjadi kawasan tumpuan utama bagi rantaian bekalan industri dan ini mendorong kami untuk melabur di rantau tersebut,” katanya.

 

jemin

 

Mengulas aspek penggajian, beliau berkata, syarikat turut menyasarkan untuk mengambil khidmat 250 hingga 500 pekerja tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan matlamat untuk membolehkan kemudahan itu dikendali serta diurus oleh rakyat negara ini.

 

“Syarikat mahu melabur dalam aspek tenaga kerja. Kami maklum usaha (proses) itu akan memakan masa dan bagi peringkat awal, kami akan membawa masuk pegawai dagang untuk jangka masa pendek bagi tujuan pemindahan teknologi serta melatih rakyat tempatan,” katanya.

 

jemin

 

Dalam pada itu, Miller berkata syarikat Nextracker kini menjalankan perniagaan bernilai AS$100 juta (RM438.75 juta) dengan dua syarikat Malaysia dan berhasrat mengembangkan usaha tersebut dalam beberapa tahun akan datang, termasuk menjadikan Malaysia sebagai rakan pembuatan utamanya.

 

“Kami memilih Malaysia kerana lokasi geografinya serta mempunyai barisan pekerja berkemahiran tinggi dalam menghasilkan produk syarikat ini yang berteknologi tinggi,” katanya.

 

Menurutnya,  Nextracker juga menyasarkan rakan niaga di Malaysia akan melipatgandakan jumlah pekerjanya daripada 400 orang pada masa ini dalam usaha menampung pengembangan perniagaan terbabit. - DagangNews.com