Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM64.8 bilion sepanjang enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan cabaran global.
Nilai pelaburan itu melibatkan 1,725 projek dan bakal menghasilkan 37,110 peluang pekerjaan di Malaysia.
Daripada jumlah itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pelaburan tempatan mewakili 69.8% atau RM45.3 bilion, manakala pelaburan asing bernilai RM19.5 bilion.
Lima sumber pelaburan asing teratas adalah dari Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion) bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.
“Bagi projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri teratas adalah Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor, menyumbang RM47.1 billion (72.6%) kepada jumlah pelaburan itu.
“Sektor pembuatan menarik jumlah pelaburan terbesar bagi separuh tahun pertama 2020, menyumbang sehingga lebih daripada separuh (55.1%) atau RM35.7 bilion,” kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.
Prestasi itu diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan 44.2% atau RM28.6 bilion dan sektor utama (pelaburan sebanyak 0.7% atau RM0.5 bilion).
Sementara itu, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi kenyataan sama berkata, walaupun pelaburan asing memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, penekanan lebih besar diberikan untuk mendorong pelaburan domestik dan mengubah lebih banyak syarikat domestik menjadi pemain global.
“Kita akan terus memberi keutamaan dalam merancakkan penggunaan teknologi di semua segmen ekonomi dengan memanfaatkan potensi Industri 4.0 untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia,” katanya.
Tambahnya, memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan juga akan menjadi keutamaan dengan aktiviti perniagaan kembali kepada paras normal.
“Ekonomi Malaysia sedia mencapai kembali momentum, memasuki separuh tahun kedua 2020. Bagaimanapun, pandemik COVID-19 belum menunjukkan tanda berakhir dan kerajaan akan mengawasi dengan dekat kemajuan ekonomi ke arah proses pemulihan.
“MIDA berusaha untuk menyokong pelaburan dengan lebih baik melalui penglibatan dan kolaborasi berterusan kami dengan sektor swasta dan awam ke arah memperluas kemakmuran negara,” tambah Mohamed Azmin.
Setakat Julai 2020, MIDA meraih 732 projek dengan jangkaan pelaburan RM35.9 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama. - DagangNews.com