Malaysia Smelting Corporation komited tingkatkan kecekapan perlombongan - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Malaysia Smelting Corporation komited tingkatkan kecekapan perlombongan - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Malaysia Smelting Corporation Berhad komited untuk meningkatkan kecekapan perlombongannya secara beransur-ansur dengan menyasarkan pengeluaran 11 tan bijih timah setiap hari menjelang akhir tahun ini.

 

Malacca Securities berkata, langkah itu akan disokong oleh penambahan jentera baharu (penghantaran penghancur dan pengisih baharu ke lombong Timah Hidraulik Rahman (RHT)) dan pembangunan loji pemprosesan tambahan di lombong bijih timah Sg. Lembing.

 

Katanya, segmen peleburan akan disokong oleh kecekapan pengeluaran yang lebih baik dan kos operasi yang lebih rendah daripada teknologi canggih di kilang Pulau Indah manakala kilang peleburan Butterworth akan ditamatkan secara beransur-ansur menjelang pertengahan 2024.

 

"Kami mendapati bahawa harga timah terus menunjukkan arah aliran pemulihan; dagangan antara AS$25,400 hingga AS$26,800/MT sejak dua bulan lalu.

 

"Harga timah mungkin berlegar pada julat semasa dan pada purata AS$26,000/MT kerana prospek permintaan yang lebih kukuh akan disokong oleh revolusi teknologi (kenderaan elektrik) dan peningkatan penggunaan kepada menjana elektrik mesra alam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih Malaysia Smelting jatuh 28% kepada RM28.4 juta pada 2QFY23 akibat harga timah merosot

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan itu merosot 28% kepada RM28.4 juta akibat sumbangan yang lebih lemah daripada segmen perlombongan bijih timah yang terjejas oleh purata harga bijih timah yang lebih rendah dan hasil bagi suku tersebut turun 20% kepada RM327 juta.

 

Bagi separuh pertama 2023, untung bersih terkumpul pada RM63.9 juta menjadikan sehingga 62.2% dan 58.1% daripada unjura keuntungan bersih dan konsensus yang diramalkan masing-masing sebanyak RM102.6 juta dan RM110.0 juta.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 22.4%, 10.2% dan 5.4% untuk FY23 kepada FY25 untuk melaraskan margin yang lebih baik daripada jangkaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.20 sesaham," katanya. - DagangNews.com