Malaysia teliti penjelasan EU berhubung diskriminasi sawit | DagangNews Skip to main content

Malaysia teliti penjelasan EU berhubung diskriminasi sawit

 

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Malaysia akan terus komited terhadap proses perundangan ke atas Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu anti minyak sawit bagi memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil terpelihara.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan EU selepas mengadakan sesi konsultasi pada Khamis. 

 

"Sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Semalam, Malaysia telah mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama EU berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi industri sawit negara.

 

Pelaksanaan sesi ini adalah susulan daripada permohonan Kerajaan Malaysia untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah WTO yang dibuat 15 Januari lalu.

 

Delegasi Malaysia diwakili oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan agensi lain berkaitan. 

 

Sesi ini diketuai Mohd. Khairuddin dan turut dihadiri wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.

 

Mohd. Khairuddin berkata, sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II. 

 

"Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia," katanya. - DagangNews.com