Malaysia tidak tersingkir dari Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak tersingkir dari Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - FTSE Russell masih mengekalkan Malaysia dalam keahlian Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), berdasarkan pengumuman yang dikeluarkan lewat semalam. 

 

Ini sekali gus menyaksikan Malaysia akan dibuang daripada Senarai Pemerhantian bagi potensi klasifikasi semula bagi tahap kebolehcapaian pasaran dari paras 2 kepada 1. 

 

“Kami memuji Bank Negara Malaysia (BNM) atas inisiatif yang telah dilaksanakan dan sedang dijalankan untuk menangani kebimbangan pelabur asing ketika memasuki pasaran bon kerajaan Malaysia,” jelas FTSE Russell. 

 

Menerusi pengumuman sama, FTSE Russell turut menyenaraikan dua penambahbaikan yang dapat dilihat di pasaran bon Malaysia. 

 

Ini termasuk kecairan pasaran bon sekunder yang bertambah baik menerusi pembukaan semula penerbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) pada 2021, komitmen untuk menukar, jika diperlukan, bon tidak cair dan menggantikan dengan bon dengan mudah tunai yang lebih tinggi.

 

Kedua, FTSE Russell melihat Malaysia meningkatkan struktur dan kecairan pasaran pertukaran asing melalui peningkatan ketelusan harga setelah waktu perdagangan tempatan melalui program Pejabat Luar Negara yang Dilantik (AOO).

 

“FTSE Russell berterima kasih atas penglibatan yang sangat membina dengan BNM dan inisiatif positif yang telah diperkenalkan sejak dua tahun kebelakangan ini.

 

“FTSE Russell amat mendorong BNM untuk meneruskan usaha dalam meningkatkan pengalaman peserta antarabangsa di pasaran pendapatan tetap Malaysia,” tambah FTSE Russell lanjut. 

 

Kali terakhir FTSE Russell membuat keputusan untuk mengekalkan Malaysia dalam senarai pemerhatian, pada 24 September 2020. 

 

Baca : Malaysia diletakkan dalam Senarai Pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE

 

Pengekalan itu bagi klasikasi semula dari Tahap Kebolehcapaian Pasaran 2 kepada 1.  

 

Sementara itu, FTSE Russell turut mengesahkan bahawa bon kerajaan China akan dimasukkan ke dalam WGBI dalam jangka masa 36 bulan bermula tarikh kuat kuasa 29 Oktober 2021. 

 

Tahap kebolehcapaian pasaran China akan dikelaskan semula dari 1 menjadi 2 pada tinjauan Mac 2021, kata FTSE Russell. 

 

Dalam masa sama, bon India pula akan diletakkan di dalam Senarai Pemerhatian bagi potensi pengklasifikasian semula Tahap Kebolehcapaian Pasaran dari 0 kepada 1 dan mempertimbangkan untuk memasukkannya ke dalam Indeks Bon Kerajaan Pasaran Sedang Membangun FTSE (EMGBI). - DagangNews.com