Malaysian Genomics jalin kerjasama dengan Medifirst, perluas ujian saringan genetik di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics jalin kerjasama dengan Medifirst, perluas ujian saringan genetik di Indonesia

KUALA LUMPUR 22 Okt - Malaysian Genomics Resources Centre Berhad (MGRC) menjalin kerjasama dengan pengedar produk perubatan dan farmasi Medifirst Sdn Bhd untuk menyediakan akses kepada ujian saringan genetiknya di Indonesia.

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata dengan pengalaman Medifirst dalam pengedaran produk perubatan dan farmaseutikal di Indonesia dan Malaysia, kerjasama itu akan menyaksikan Medifirst menawarkan ujian saringan genetik Malaysia Genomics di Indonesia antaranya melalui doktor dan pakar penjagaan primer di rangkaian hospital dan pusat perubatannya.

 

"Kami akan bekerjasama dengan Medifirst untuk memastikan penyampaian ujian saringan genetik kami melalui saluran penjagaan kesihatan profesional di seluruh Indonesia.

 

"Dengan mengenal pasti kemungkinan risiko kesihatan hasil daripada pemeriksaan genetik, pesakit dapat merancang dengan doktor mereka mengenai cara-cara untuk mengurangkan risiko penyakit menggunakan pilihan pencegahan, pemantauan dan rawatan yang tersedia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MGRC Sasha Nordin dalam kenyataan itu, lapor Bernama.

 

Sementara itu, Pengarah Medifirst  Datuk Yap Kon Min berkata terdapat  100 doktor yang menunggu untuk menggunakan ujian saringan genetik Malaysian Genomics bagi membantu pesakit membuat keputusan yang lebih tepat untuk menjaga kesihatan mereka.

 

Ujian saringan genetik Malaysian Genomics menggabungkan teknologi inovatif dengan pengetahuan genomik canggih untuk mengenal pasti dan menilai penanda genetik yang diketahui berkaitan dengan risiko kesihatan, termasuk risiko genetik berkaitan kerentanan dan sejauh mana seriusnya  jangkitan COVID-19, barah, penyakit kardiovaskular, gangguan perkembangan pada kanak-kanak, malah reaksi buruk terhadap ubat-ubatan preskripsi. - DagangNews.com