Malbatt 850-11 ambil alih tugas pengaman Malaysia di Lubnan, penugasan lebih mencabar berikutan konflik Israel-Palestin | DagangNews Skip to main content

Malbatt 850-11 ambil alih tugas pengaman Malaysia di Lubnan, penugasan lebih mencabar berikutan konflik Israel-Palestin

Penyerahan bendera PBB sebagai simbolik penyerahan penugasan Malbatt 850-11 di Lubnan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 17 Nov - Penugasan pasukan pengaman Malaysia bagi mengawasi keselamatan di Selatan Lubnan kini secara rasmi diambil alih Malbatt 850-11 yang menggantikan Malbatt 850-10.

 

Malbatt 850-11 sebelum ini dihantar secara berperingkat-peringkat menerusi empat kali penerbangan menggunakan pesawat Air Asia, dengan penghantaran kumpulan pertama pada 2 November lepas.

 

Manakala kumpulan terakhir Malbatt 850-10 kembali ke tanah air hari ini.

 

Penugasan pasukan pengaman Malaysia kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Palestin di Gaza.

 

Malbatt

 

Ini mencetuskan kebimbangan berikutan konflik berlaku antara Israel dan kumpulan Hezbollah di Lubnan sehingga menimbulkan ketegangan di sempadan.

 

Pertempuran itu menandakan situasi paling buruk di sempadan sejak Israel dan Hezbollah berperang selama sebulan pada 2006.

 

Terdahulu, majlis penyerahan kuasa penugasan antara kedua-dua pasukan telah diadakan di Kem Marakah. 

 

Simbolik penyerahan tugas ini adalah penyerahan bendera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) antara kedua-dua komander Malbatt.

 

Malbatt
Kemudahan perubatan pasukan Malbatt.

 

Malaysia memberikan komitmen dalam penglibatan mengaturgerakkan pasukan pengaman di Selatan Lubnan sejak tahun 2007.

 

Sepanjang tempoh tersebut, semua pasukan yang bertugas berjaya melaksanakan operasi di kawasan tanggungjawab Malbatt di samping menguatkuasakan Mandat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 1701.

 

Penyertaan Malbatt membentuk sebahagian daripada kekuatan kira-kira 10,430 tentera pengaman UNIFIL yang disertai 47 negara.

 

Malaysia menyumbang tentera pengaman kedua terbesar selepas Indonesia di Lubnan diikuti India, Itali, Ghana dan Nepal. - DagangNews.com