Muka hadapan laman web flymalindoairways.com yang didakwa sebagai tidak sah oleh Malindo Air.
PETALING JAYA 12 Okt – Malindo Air memberi peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap kewujudan laman web palsu yang mendakwa menjual tiket penerbangan syarikat itu secara tidak sah menerusi flymalindoairways.com.
Laman web tidak sah itu didapati menjual tiket Malindo Air menerusi kaedah pembayaran mencurigakan yang tidak berdaftar dengan sistem syarikat penerbangan itu, dan segala pembelian yang dibuat menerusi laman web palsu itu tidak tercatat di dalam pangkalan data Malindo Air.
Malindo Air menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap platform penempahan palsu tersebut dan memastikan tempahan tiket dilakukan hanya menerusi laman web rasmi Malindo Air iaitu malindoair.com dan agensi pelancongan berdaftar (OTA).
"Malindo Air sudah membuat laporan rasmi kepada MyCert mengenai flymalindoairways.com. Satu laporan polis juga akan menyusul," kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan media.
"Jika wujud sebarang keraguan atau mahu melaporkan sesuatu yang disyaki penipuan menggunakan jenama Malindo Air, orang ramai boleh menghubungi kami menerusi platform media sosial atau Pusat Panggilan +603-78415388 untuk bantuan lanjut. - DagangNews.com