KUALA LUMPUR 8 Mac - Mangsa banjir di Selangor terus meningkat 1,122 mangsa daripada 263 keluarga kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi tadi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Facebook memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding 746 mangsa daripada 167 keluarga, malam tadi.
Di Gombak, bilangan mangsa di dua PPS iaitu Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Kampung Melayu Sri Kundang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang tidak berubah dengan 524 mangsa daripada 119 keluarga.
Keadaan juga tidak berubah di Petaling apabila bilangan mangsa ditempatkan di Dewan Kenanga Seksyen 28 kekal 222 orang.
Dewan Camelia Putra Heights pula menempatkan 138 mangsa daripada 34 keluarga, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah (164 mangsa, 44 keluarga) dan Masjid Nurulhuda (26 mangsa, enam keluarga).
Di Masjid Putra Heights pula, bilangan mangsa masih dalam bancian sementara SK Putra Heights 2 diletakkan dalam keadaan bersedia.
Di Hulu Langat pula, NADMA melalui kenyataan sama berkata, jumlah mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Serai adalah seramai 48 mangsa daripada 15 keluarga.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, agensi pengurusan bencana akan terus memantau keadaan dan membantu proses pemindahan mangsa.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengesahkan 29 lokasi sekitar ibu kota terjejas selepas dinaiki banjir kilat susulan hujan lebat petang semalam.
Beliau berkata, banjir di 25 kawasan bagaimanapun surut dalam tempoh antara 30 hingga 45 minit, manakala empat lagi kawasan surut dalam tempoh satu hingga tiga jam.
Katanya, dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswati yang menempatkan 560 mangsa banjir daripada 145 keluarga, selain Dewan Sultan Sulaiman yang membabitkan 128 mangsa banjir di Kampung Periuk.
Beliau berkata, tiga insiden tanah runtuh dilapor masing-masing di Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama, selain Seksyen 6 di Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah 4 di Salak Selatan.
Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah meninjau ke kawasan terbabit dan kerja susulan akan dilakukan dalam kadar segera, lapor Berita Harian.
Banjir kilat berlaku apabila hujan lebat dalam tempoh dua jam dengan bacaan melebihi 206 milimeter direkodkan di ibu kota petang semalam. - DagangNews.com