Marketing In Asia raih pelaburan RM1 juta dari Kuber Ventures Singapura | DagangNews Skip to main content

Marketing In Asia raih pelaburan RM1 juta dari Kuber Ventures Singapura

Azleen Abdul Rahim, Pengarah Strategi Penjenamaan Marketing In Asia

 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Platform teknologi pemasaran dan media digital, Marketing In Asia berjaya menarik pelaburan strategik sebanyak RM1 juta (AS$250,000) dari Kuber Ventures, sebuah syarikat studio-teroka berpusat di Singapura.

 

Kuber Ventures, tertarik dengan potensi besar sektor digital, teknologi dan syarikat pemula di rantau Asia, sentiasa aktif mencari pelaburan yang sesuai terutamanya di negara-negara Asia Tenggara. Rakan-rakan kongsi Kuber Ventures juga adalah pemilik SCIKEY. Ia adalah sebuah platform pekerjaan, karier dan penyelesaian perniagaan digital yang menguasai pasaran pekerjaan dan karier di lebih tujuh buah negara di Asia dan Eropah.

 

Faktor utama mengapa Kuber Ventures melabur di dalam Marketing In Asia adalah kerana keinginan mereka untuk menguasai sektor teknologi pemasaran dan media di Asia Pasifik. Ia juga berdasarkan prestasi platform ini yang unik dan berpotensi tinggi untuk menjadi lebih popular di peringkat global.

 

Diwujudkan pada tahun 2017, Marketing In Asia memberi peluang kepada para pembuat kandungan digital seperti penulis, blogger, penyelidik, perekabentuk grafik, pembuat video dan podcaster untuk mendapatkan trafik yang jauh lebih besar melalui kandungan yang dibina.

 

Menurut Marketing In Asia, terdapat lebih 1,500 pembuat kandungan dari seluruh Asia kini meletakkan kandungan mereka di platform ini setiap bulan. Dan ia juga berjaya merekodkan jumlah pembaca bulanan yang mencecah lebih 1 juta impression.

 

Azleen Abdul Rahim, Pengarah Strategi Penjenamaan Marketing In Asia berkata, hari ini, objektif pihaknya bukan sahaja akan meningkatkan lagi jumlah kandungan dan senarai pembuat kandungan berdaftar, tetapi lebih dari itu.

 

''Kita juga berhasrat untuk menjadi platform tumpuan untuk segalanya tentang pemasaran. Syarikat, organisasi dan pembuat kandungan akan datang ke Marketing In Asia bukan sahaja untuk memuat naik kandungan mereka bagi mendapatkan perhatian dunia, tetapi juga untuk mendapatkan khidmat pemasaran dan juga untuk menawarkan perkhidmatan pemasaran mereka," katanya. 

 

Azleen menjangkakan pertumbuhan jumlah kandungan yang ada di platform ini dan juga peningkatan jumlah pembuat kandungan yang bakal aktif akan meningkat dengan ketara dalam masa 12 bulan akan datang.

 

"Kita juga akan meningkatkan jumlah Editor luar negara dalam masa terdekat. Buat masa ini kita hanya mempunyai dua orang Editor di rantau ini, iaitu Jennette Cajucom di Filipina dan Kartina Rosli in Singapura,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Alok Kumar
                                   Alok Kumar

 

 

Alok Kumar, Pengarah Urusan dan rakan kongsi di Kuber Ventures berkata, "Tulang belakang pemasaran pada hari ini adalah teknologi, kita tidak dapat lari dari hakikat ini. Kuber Ventures komited untuk menjadikan Marketing In Asia sebagai satu platform yang akan memudahkan para pembuat kandungan untuk menarik lebih banyak trafik internet ke aset-aset digital mereka.

 

''Abad ini milik Asia, dan Marketing In Asia akan memastikan ‘suara’ para pembuat kandungan ini akan didengar di seluruh dunia. Melalui model perniagaan yang unik Marketing In Asia, ditambah pula dengan teknologi terkini yang akan disuntik, ia akan membuatkan senario pemasaran dan industri kandungan digital di Asia akan menjadi lebih menarik lagi. Kami amat teruja dengan apa yang Azleen dan pasukannya telah lakukan selama ini, dan kami mahu memperkuatkannya lagi,” kata Alok.

 

Sementara itu, Karunjit Kumar Dhir, yang juga rakan kongsi Kuber Ventures berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk membawa Marketing In Asia ke persada dunia.


 

Karunjit Kumar Dhir
                                Karunjit Kumar Dhir

 

 

“Selain kandungan, kita juga dalam proses untuk mengubah sektor perkhidmatan pemasaran agar lebih dinamik dan berdaya maju. Ini kerana industri pemasaran pada hari ini wujud dalam suasana yang berkelompok dan tidak mesra pelanggan.

 

''Dalam mengubah strategi Marketing In Asia dan menjadikannya sebagai platform pilihan untuk perkhidmatan pemasaran, kami akan bekerjasama dengan lebih 1,000 pembuat kandungan, freelancers, wartawan, syarikat penyelidikan, agensi media, influencers dan pakar-pakar pemasaran dari rantau Asia yang telah berdaftar dengan Marketing In Asia,'' katanya.

 

Raymond Siva, Naib Presiden Kanan bagi Jenama dan Pelaburan yang juga Ketua Pegawai Pemasaran MDEC berkata, MDEC mengucap tahniah ke atas kejayaan Marketing In Asia.

 

''Kami amat mengalu-alukan sokongan Kuber Ventures ke atas syarikat Malaysia dalam sama-sama membina momentum menjayakan Strategi Pelaburan Digital Future5 yang diterajui MDEC terutamanya dalam bidang teknologi kandungan digital.

 

 

Raymond Siva
                       Raymond Siva

 

 

''Malaysia memiliki segala kemampuan dan kemudahan di samping mempunyai dasar yang kukuh untuk pelabur membina dan berkembang, seterusnya meningkatkan ekonomi digital negara ke arah yang lebih baik. Kami sentiasa bekerja keras membina sebarang kerjasama dan inovasi dalam menjadikan Malaysia sebagai Hub Digital ASEAN,” kata beliau.

 

Dengan modal pembiayaan baharu ini, Marketing In Asia akan menggunakan inovasi terkini untuk melakukan transformasi ke atas industri pemasaran rantau ini. Para pelanggan yang memilih Marketing In Asia sebagai saluran pemasaran mereka pula bakal memperolehi pulangan modal sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus lebih baik ke atas perbelanjaan pemasaran yang mereka laburkan berbanding saluran lain.

 

Azleen berkata, setiap perniagaan, syarikat dan organisasi mahukan penyelesaian yang mudah tetapi berkesan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pemasaran mereka.

 

''Saya nampak kebanyakan pelanggan kecewa kerana terpaksa menggunakan sumber dalaman yang terhad atau membayar pelbagai agensi pemasaran untuk perkhidmatan yang berbeza-beza. Hari ini, kita ada cara yang lebih baik lagi. Ubah strategi anda, cuma berurusan dengan Marketing In Asia sahaja untuk semua jenis perkhidmatan pemasaran yang diperlukan. Platform ini akan menyelesaikan kesemuanya. Sekiranya ia pemasaran, kita ada semuanya,” kata beliau. – DagangNews.com