Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 6 Jan - Marriott International, Inc. memetrai perjanjian bersama Rackson Hospitality Sdn. Bhd. bagi membangunkan hotel jenama Le Meridien di Pulau Pinang yang dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung 2026.
Projek di bawah Penang Gateway itu akan membangunkan sebuah hotel dengan kapasiti 200 bilik tidur berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pualau Pinang yang akan dijadikan pembangunan bercampur merangkumi kediaman, pusat perubatan, pusat komersial dan runcit.
Pembinaan projek itu dijangka dimulakan pada pertengan tahun ini.
Timbalan Presiden Marriott International Singapura, Malaysia dan The Maldives, Rivero Delgado berkata, pihaknya berbangga untuk menjalinkan kerjasama dengan Rackson Hospitality Sdn. Bhd. bagi membawa jenama Le Meridien ke Pulau Pinang.
"Jalinan kerjasama ini adalah komitmen kami dalam mengembangkan perniagaan Marriott International ke seluruh Malaysia.
"Kami yakin Le Meridien Pulau Pinang akan menawarkan kemudahan terbaik kepada orang ramai yang ingin merasai pengalaman tersendiri semasa melancong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rackson Group, Kelvin Lor berkata, jalinan kerjasama itu akan menjadi batu loncatan kepada syarikat yang sedang meningkat naik seperti mereka kerana berpeluang membangunkan jenama terkemuka seperti Le Meridien.
"Hotel ini akan menampilkan elemen hiasan yang cukup menarik dan akan menjadi perhatian ramai sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pualu Pinang.
"Apabila siap sepenuhnya projek pembangunan Penang Gateway, saya percaya ia akan menjadi mercu tanda di Bayan Lepas dan bakal meningkatkan kegiatan ekonomi di bandar ini," katanya. -DagangNews.com