Masalah pekerja asing memudaratkan prospek ATA IMS | DagangNews Skip to main content

Masalah pekerja asing memudaratkan prospek ATA IMS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - ATA IMS Bhd. berdepan prospek suram ekoran ketidaktentuan masalah tenaga buruh yang turut menjejaskan keuntungan kumpulan dalam tempoh terdekat. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap ATA dengan harga sasaran juga disemak rendah kepada RM1.93 berbanding sebelumnya, RM2.48.

 

Dalam nota kajian, firma penyelidikan itu juga masih bimbang mengenai keuntungan ATA bagi tahun kewangan 2022 (FY22) di sebalik garis masa yang kurang jelas membabitkan penambahan pekerja asing. 

 

Kumpulan juga, katanya, dijangka berdepan dengan pembatalan tempahan sekiranya isu kekurangan pekerja asing berlarutan sehingga FY23. 

 

"Mengambil kira faktor ini, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 sebanyak 41% yang mencerminkan pengurangan berterusan dalam nisbah pekerja asing, tempatan pada separuh kedua 2022. 

 

"Bagi EPS FY23-FY24 pula, ia dikurangkan antara 7 hingga 24% bagi mencerminkan tempoh masa yang lebih lama diambil daripada jangkaan untuk meningkatkan kecekapan disebabkan kekurangan pekerja asing dan komponen. 

 

"Tetapi, kami mengekalkan saranan 'pegang' kerana kami berpendapat penurunan harga saham baru-baru ini adalah sebahagian sahaja, jika tidak sepenuhnya, yang mencerminkan perkara ini," katanya hari ini.  

 

Pada Jumaat lalu, ATA yang merupakan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) terkemua melaporkan prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 September 2021 yang menyaksikan kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM11.17 juta berbanding untung bersih RM52.29 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Malah, ia merupakan kerugian sukuan pertama yang dialami ATA sejak suku pertama 2018 apabila syarikat ini yang sebelum ini dikenali sebagai Denko Industrial Corp. Bhd. mengalami rugi bersih sebanyak RM2.23 juta berbanding untung bersih bagi tahun sebelumnya, RM461,000, berdasarkan pemfailannya di Bursa Malaysia. 

 

Ini menyaksikan harga sahamnya mula jatuh di bawah paras RM2 sejak Isnin selepas kumpulan mengeluarkan laporan kewangan berkenaan. 

 

Setakat 12.21 tengah hari, harga sahamnya merosot 29 sen atau 15.59% kepada RM1.57 dengan 33.7 juta saham diniagakan. 

 

Sebelum ini, untung bersih teras ATA bagi separuh pertama 2022 merosot sehingga 82% tahun ke tahun disebabkan penurunan hasil sebanyak 29%. 

 

Menurut CGS-CIMB, dalam taklimat baru-baru ini, pengurusan ATA berkata, keadaan itu disebabkan kekurangan tenaga buruh apabila kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing.

 

Ini menyebabkan kumpulan mengalami kehilangan 20% daripada tenaga kerja (menurun kepada 8,000 berbanding 10,000 pekerja sebelum ini) manakala nisbah pekerja asing dan tempatan susut kepada 1:1 daripada 7:3, yang menunjukkan kehilangan kira-kira 3,000 pekerja asing.  

 

"Ia menyaksikan ATA beroperasi dengan kadar penggunaan kapasiti hanya 50% mengakibatkan skala tidak ekonomi, justeru, menyebabkan kerugian bersih teras sebanyak RM12.1 juta pada suku kedua. 

 

"Selain itu, kumpulan juga terjejas dengan masalah kekurangan komponen dan menjangkakan isu ini akan berterusan sehingga FY22," jelas firma tersebut. - DagangNews.com