Masih tak puas hati dengan TNB | DagangNews Skip to main content

Masih tak puas hati dengan TNB

Masih tak puas hati dengan TNB

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

WALAUPUN kerajaan sudah mengisytiharkan Bantuan Prihatin Elektrik sebanyak RM942 juta kepada 7.66 juta pengguna, ia belum dapat memadamkan sepenuhnya api kemarahan sebilangan rakyat.

Mungkin orang tidak berapa faham istilah `bantuan’. Bil elektrik rakyat tinggi, bukan rakyat minta `bantuan’. Rakyat minta bil sama seperti masa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19. 

Yang menjadi titik kepanasan ialah tahap lonjakan caj yang didakwa `melampau-lampau’ dan bila diadu, jawapan yang diterima tetap tidak memuaskan. Ramai mempertontonkan bil elektrik dengan caj sampai ratusan ringgit dan ada juga ribuan ringgit di laman media sosial masing-masing.

Kepantasan kerajaan campur tangan dalam perkara ini, banyak melegakan rakyat. Maklumlah, baharu saja hendak merasa kebebasan selepas PKP dilonggarkan tiba-tiba mendapat pula bil elektrik yang meragut ketenangan jiwa. Tetapi kenapa rungutan masih bergema, masih marah-marah?

Mungkin kena selidik apakah patut kerajaan guna perkataan yang Mak Ngah, Pak Su lebih faham seperti `potongan bil, diskaun atau adjustment’? 

Anggota komunikasi strategik kerajaan patut post-mortem apakah perkataan `bantuan’ itu hanya sesuai diguna oleh golongan birokrat, tidak kepada rakyat yang terus-menerus melepaskan kegeraman di media sosial?

Daripada segi perspektif birokrat, dana bantuan itulah diguna untuk membayar separuh atau keseluruhan bil elektrik. Ia tidak boleh dinamakan `bail-out’ atau `pampasan’ kerana ia membawa definisi berbeza sama sekali, dan mungkin dijadikan isu politik pula. 

Sebagai pemerhati industri dan juga pengguna, Merrepak merumuskan empat isu pokok yang menjadi asas kemarahan rakyat terhadap bil elektrik yang melambung-lambung iaitu:

  1. Ketiadaan pembaca meter semasa PKP.
  2. Bil elektrik luar biasa mencanak-canak.
  3. Bila harga minyak global turun, kenapa elektrik tidak?
  4. Cara TNB tangani kelompok masih marah

Kita perhalusi satu demi satu perkara di atas, yang soalannya turut saya kemukakan kepada pihak TNB, selain memerhati jawapan peneraju syarikat dan kerajaan semasa sidang akhbar.

  1. TNB mengakui pembaca meter TNB  tidak dihantar bertugas sepanjang tempoh PKP. Keputusan itu dibuat atas nasihat pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan coronavirus (Covid-19) 

Bertentangan dengan kepercayaan sesetengah pihak, pembaca meter TIDAK termasuk di dalam kategori perkhidmatan penting ketika tempoh genting tersebut.

 

Ok, hujah di atas tidak boleh diterima! kata anda. Berhenti sejenak dan fikirkan ini: pembaca meter itu pun manusia, jika dia itu ahli keluarga anda, apakah anda akan izinkan dia keluar ketika 90% rakyat Malaysia berlindung di rumah?

 

Dari sudut pandangan neutral pula, pengakuan TNB ini merupakan titik lubang yang pantas dan mudah diguna untuk membelasah TNB. Mungkin ini menjadi pengajaran berguna kepada TNB bila berdepan situasi bencana besar di masa mendatang. 

 

  1. Bil elektrik mencanak-canak
    Penularan Covid-19 telah menyebabkan negara ini mengharungi tempoh getir yang tidak menentu dan belum pernah terjadi sebelum ini serta dengan keadaan seluruh dunia berada di bawah sekatan pergerakan, ramai yang menghabiskan lebih banyak masa di rumah berbanding sebelumnya.

Menurut satu laman web kaji selidik, Populus, trend kenaikan bil elektrik itu juga dapat dilihat di negara-negara lain dengan United Kingdom mencatatkan purata peningkatan £32.31 (RM173.17) sebulan.

Di New York, penggunaan elektrik pada hari bekerja di pangsapuri meningkat sebanyak 7% selepas perintah duduk di rumah, manakala penggunaan pada hujung minggu melonjak 4%.

Trend yang sama turut berlaku di seluruh dunia tanpa mengira status ekonomi termasuk di Australia, Singapura, Indonesia, Thailand, India dan Hawaii.

Sepanjang tempoh PKP, kadar penggunaan elektrik sektor kediaman meningkat kepada 20% sehingga 50% susulan rakyat mematuhi arahan PKP untuk kekal berada di rumah. Faktor ini turut menyumbang kepada bil elektrik tinggi.

 

  1. Bila harga minyak global turun, kenapa elektrik kekal tak turun-turun? 

Sebenarnya, tiada kaitan atau impak terus terhadap tarif elektrik. Secara umumnya, kos untuk menjana elektrik di pihak TNB ialah :

  1. 53.9% arang batu
  2. 42.3% gas asli termasuk LNG
  3. 3.2% hidro dan lain-lain 
  4. 0.6% solar

 

  1. Setelah langkah berani kerajaan memperuntukkan dana RM942 juta untuk membayar bil elektrik rakyat, kelihatan masih ada yang komplen. Dalam konteks ini, apa kaedah TNB menyelesaikannya?

 

Anda boleh buat begini ya: 

  1. Berkunjung ke Kedai Tenaga berhampiran untuk mendapat penjelasan bagaimana kiraan dan pelarasan bil dibuat. 
  2. Atau hubungi TNB CareLine di talian 1300 88 5454

 

  1. Benda yang patut anda elak, walau bagaimana marah sekali pun:

Jangan maki-hamun petugas TNB dari pembaca meter, pemasang kabel, petugas di kaunter. Mereka pun manusia juga. Ada yang sahabat dan ahli keluarga pun. Zaman maki-hamun secara verbal dan tulisan di media sosial patut disimpan untuk musim pilihan raya sahaja. Kritik boleh tapi definisi kritik jauh berbeza dengan maki.

 

Satu kejadian benar dan menimbulkan rasa tidak manis bila sesama jiran tetangga pula bertegang urat. Seorang individu bawa kes kawannya yang komplen bil tinggi ke dalam grup WhatsApp kejiranan. Maka jiran yang bekerja di TNB kehairanan sebab kerajaan sudah pun mengumumkan langkah penyelesaian. Bab mana yang tidak faham-faham ini? 

 

Atas sebab yang sama, disarankan anda terus ke pejabat TNB untuk kemukakan aduan. Ini saluran betul. Letak dalam grup WhatsApp untuk apa? Semarakkan kemarahan sesama jiran? Walhal sudah ada jalan penyelesaian. Lainlah kalau kerajaan `bo layan’.

 

Musim pasca Covid-19 ini kita semua patut tumpukan kepada cara mematuhi prosedur Kebiasaan Baharu, membersihkan tangan, mengelak daripada tempat sesak dan sebagainya.

Ada cara lebih bertamadun sampaikan aduan. 

 

Dan zaman ini, mana-mana GLC atau apa sahaja entiti yang ada pelanggan, tidak akan berani sesuka hati buat keputusan kerana impaknya cukup berat. Percayalah. 

 

Tak mahu percaya, tidak apa. Tapi lihatlah bagaimana aduan elektrik anda ini telah ditangani sebaiknya oleh pihak berwenang. Hampir RM1 bilion diguna untuk selesaikan isu ini.


Kolum Merrepak sejak 2009 ini adalah platform pembentangan hujah dan pandangan wartawan yang berpengalaman lebih 28 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Pengarang Eksekutif akhbar Utusan Malaysia yang tamat operasi pada 9 Oktober 2019. Merrepak kini diterbitkan setiap Ahad di `rumahnya sendiri’, www.dagangnews.com